Solskjaer sedia tampilkan kehebatan Pogba

Oleh Staff Writer 22 Disember 2018 2087
Solskjaer sedia tampilkan kehebatan Pogba
Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, sedia berdepan cabaran untuk menonjolkan potensi sebenar pemain tengah, Paul Pogba, walaupun menyedari kontroversi media sosial yang dilakukan bintang pasukan itu.

Solskjaer dilantik selaku pengurus sementara United, Rabu lalu.

Ia merupakan penampilan pertamanya di Old Trafford sejak menjadi jurulatih pasukan simpanan United sekitar tahun 2008 dan 2011.

Solskjaer pernah membimbing Pogba dalam tempoh tersebut, namun Pogba kemudian memilih untuk meninggalkan United bagi menyertai Juventus, kembali ke Old Trafford dengan rekod perpindahan tertinggi pasukan dan memenangi Piala Dunia di Russia, Julai lalu.

Pogba sebelum ini mempunyai hubungan tegang dengan bekas pengurus United, Jose Mourinho, namun Solskjaer berkeyakinan dia mampu menguruskan pemain berusia 25 tahun itu.

"Paul pemenang Piala Dunia dan dia merupakan pemain muda yang hebat.

"Ketika saya mendidiknya dulu, dia merupakan remaja yang berperwatakan ceria dan perkara itu tidak pernah berubah.

"Dia berkembang dengan pesat dan saya mahu menyerlahkan lagi potensi yang dimilikinya.

"Ramai pemain yang berkualiti di sini.

"Saya mahu menyerlahkan potensi setiap pemain dan Paul tidak terkecuali," katanya.

Pogba mencuri tumpuan sepanjang minggu ini selepas dia membuat kiriman media sosial kontroversi beberapa minit selepas Mourinho dipecat.

Dia kemudian memadamkan kiriman itu dan pihak pasukan mendakwa ia merupakan kiriman yang dijadualkan lebih awal dan tiada niat menimbulkan kekacauan.

"Kami sudah berbincang tentang apa yang saya harapkan daripada mereka.

"Setiap pemain perlu bersedia untuk diturunkan.

"Saya percaya terhadap kesemua pemain saya dan sedar akan pengorbanan mereka terhadap pasukan.

"Dunia kini sudah berubah.

"Saya tidak berminat dengan media sosial.

"Ia hanya untuk anak-anak saya.

"Saya sudah terlalu tua untuk Facebook atau Twitter.

"Saya lebih selesa begitu dan saya sudah memaklumkannya (Pogba) tentang itu.

"Kami perlu melupakan perkara-perkara seperti itu dan meletakkan sasaran untuk berjaya.

"Kami akan melakukannya sebagai satu pasukan," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen