Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, menolak untuk berbelanja besar di Old Trafford, Januari depan.

United dikaitkan dengan bintang Borussia Dortmund, Jadon Sancho, perancang Leicester City, James Maddison, serta pemain sensasi Salzburg, Erling Haaland.

Mario Mandzukic menjadi pilihan tambahan susulan penghijrahan Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez.

Namun, Solskjaer tidak bercadang untuk berbelanja besar di sebalik beberapa pinjaman pemain yang boleh dilakukan.

"Ia bukan nilai wang untuk dibelanjakan. Ia tentang siapa yang kami fikir bagus untuk kelab bagi tempoh masa panjang, bukan hanya tiga atau empat bulan," katanya.

Apabila ditanya sama ada sasarannya boleh didapatkan dalam bulan Januari, pengurus dari Norway itu berkata: "Mungkin tidak kerana ia adalah Januari.

"Tidak banyak kelab yang mahu menjual pemain yang difikirkan bagus untuk dikekalkan dalam Januari. Mungkin satu atau dua pemain boleh dipinjam tetapi ia bukan tentang perpindahan mega, hanya untuk membantu pasukan.

"Namun, kami sedang menerima semula pemain yang cedera dan akan melihat apa yang boleh dilakukan."

Solskajer bercakap menjelang kunjungan Liga Perdana Inggeris ke Sheffield United awal pagi esok.

Tatkala Paul Pogba masih belum pulih daripada kecederaan dan kecergasan Scott McTominay masih belum pasti, pengendali itu berharap pemain tengah, Fred, dapat mengisi kekosongan itu menerusi persembahan meyakinkan bersama United.

"Pertama sekali, tanda harga. Ia bukan keutamaan Fred dan tidak sepatutnya begitu kerana itu cara bola sepak sekarang," kata Solskjaer mengenai pemain Brazil yang datang daripada Shaktar Donetsk itu dengan yuran berjumlah GBP52 juta (RM278 juta) tahun lalu.

"Ketika ini, harga pasaran pemain begitu berbeza. Ia bukan terarah kepada Fred tetapi kami.

"Dia datang, beraksi dengan baik untuk bermula. Kemudian, dia melalui tempoh sukar. Apabila saya hadir, dia bergelut sebelum mencapai tempoh terbaik. Kini, dia memiliki aksi terbaiknya semula. Dia sedang mempamerkan apa yang kami lihat dalam dirinya."