Silva pertahan gaya Klopp raikan jaringan

Oleh Penulis Jemputan 5 Disember 2018 317
Silva pertahan gaya Klopp raikan jaringan
Jurgen Klopp mungkin telah didenda ekoran tindakannya meraikan jaringan di dalam padang sewaktu Liverpool meraih kemenangan dramatik 1-0 ke atas Everton, Ahad lalu, tetapi pengurus The Toffees, Marco Silva, mempertahankan pengendali dari Jerman itu.

The Reds mengesahkan kemenangan di Anfield selepas Jordan Pickford melakukan kesilapan sehingga membenarkan pemain gantian, Divock Origi, menyumbat gol kemenangan dalam waktu kecederaan.

Jaringan itu disusuli aksi Klopp berlari masuk ke padang dan meraikannya bersama penjaga gol, Alisson, yang telah memperagakan aksi terpuji mengekang setiap asakan pelawat.

Klopp mengaku bersalah di atas tindakannya itu dan didenda RM42,000 oleh Persatuan Bolasepak England (FA) tetapi Silva -- yang bercakap sebelum denda itu dikenakan --- tidak melihat tindakan bekas pengurus Borussia Dortmund itu sesuatu yang salah.

"Dalam waktu sebegitu, pengurus tidak boleh memikirkan tentang denda. Ia adalah detik yang perlu diraikan," kata Silva.

"Saya tahu sejak dua hari lalu, semua orang bercakap mengenai situasi tersebut tetapi bagi saya, ia tidak jadi masalah.

"Jika anda cuba menyekat pasukan atau pemain meraikannya bersama peminat seperti membuka baju, ia sebahagian daripada perlawanan dan sesuatu yang tidak boleh halang. Ia sangat penting walaupun anda didenda.

"Saya tidak melihat tindakan Klopp seperti apa yang saya beritahu selepas perlawanan. Ia satu detik menggembirakan buat mereka. Bagi saya, tiada masalah.

"Kini, saya telah menyaksikannya. Bagi saya, ia melibatkan emosi dalam situasi normal. Untuk meraikan gol sebegitu, ia tentang emosi, sesuatu yang tidak perlu dijelaskan.

"Saya tidak tahu apa reaksi saya jika kami menjaringkan gol ketika itu. Ia sesuatu yang saya tidak dapat jelaskan kepada anda.

"Perlawanan itu sangat istimewa. Ia adalah perlawanan setempat. Sudah tentu anda tidak menjangkakan gol selepas melihat tendangan daripada Virgil Van Dijk."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen