TOTTENHAM 0 CHELSEA 1

Jose Mourinho menganggap kekalahan tipis 0-1 Tottenham kepada Chelsea dalam pertemuan 'derby London' lebih memeritkan selepas bekas kelabnya itu dianugerahkan sepakan penalti yang sukar diterimanya.


Pertahanan Spurs, Eric Dier, menjatuhkan Timo Werner dalam separuh masa pertama untuk pengadil, Andre Marriner, menghadiahkan sepakan penalti dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Tottenham Hotspur, awal pagi tadi.

Jorginho mengambil sepakan di jarak 12 ela itu untuk memberikan kemenangan muktamad buat The Blues lebih menguasai permainan dalam keadaan hujan lebat itu.

Chelsea meraih tujuh daripada sembilan mata maksimum yang boleh direbut di bawah pengendali baru Thomas Tuchel, sekali gus memintas kedudukan seteru itu untuk berada di tangga keenam.

Tottenham tewas buat kali ketiga berturut-turut dan tanpa sengat ketua pasukan, Harry Kane, ia mendorong Mourinho mengalami kegagalan pertama dalam kariernya apabila dua kali berturut-turut tewas di tempat sendiri.

Namun, bekas pengurus Chelsea itu berasakan pasukannya berdepan keputusan berat sebelah.






Dia berkata kepada BT Sport: "Kami sedikit bergelut tetapi berapa banyak peluang yang mereka miliki? Benar, kami tidak menguasai bola dan tidak mencipta peluang dalam babak pertama tetapi puncanya segalanya adalah sepakan penalti itu. Ia menjadi penentu perlawanan ini pada akhirnya.

"Mereka memenangi bukan dalam situasi berbahaya, satu lawan satu, cuma hampir menjaringkan gol. Ini adalah satu penalti yang sukar diterima dan untuk tewas seperti ini agak menyakitkan.

"Tetapi dalam babak kedua, kami berbeza apabila Lucas Moura dan Erik Lamela membantu mengubah dinamik (permainan kami). Kami bersatu padu hingga hujung permainan sambil dibantu semangat positif."

Carlos Vinicius seharusnya memastikan tuan rumah mencuri satu mata tetapi merembat liar dari jarak dekat, lantas Mourinho berasa Spurs sepatutnya tidak mengharungi kekalahan ketiga berturut-turut dalam EPL buat julung kalinya sejak November 2012.

"Vinicius merupakan seorang pemain yang bersemangat luar biasa tetapi pemahamannya tentang cara memberi tekanan adalah sesuatu yang dia masih belum selesa," tambahnya.

"Kemudian separuh masa kedua jauh lebih sukar buat lawan, kami menekan mereka lebih baik dan lebih tinggi, sebab itu saya percaya kami seharusnya meraih mata."