Antonio Conte berkata semangat pemain-pemainnya tidak luntur walaupun cabaran untuk mempertahankan gelaran juara liga semakin jauh meninggalkan mereka.

Chelsea bakal menghadapi aksi seterusnya bertemu Brighton and Hove Albion dengan harapan tipis cuba mengurangkan defisit mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, yang kini memiliki kelebihan 16 mata ke atas The Blues.

Liga Juara-Juara (UCL), Piala FA dan Piala Carabao masih lagi menawarkan harapan untuk Chelsea mengakhiri saingan dengan gelaran sebelum tamat musim ini.

Conte menegaskan kegagalan mendapatkan lebih ramai pemain ketika jendela perpindahan musim panas lalu merupakan antara faktor mereka gagal mempamerkan permulaan yang baik hingga banyak kehilangan mata.

“Ia antara faktor prestasi semasa kami dan saya akan berbincang dengan kelab mengenai perkara yang harus dilakukan," katanya.

“Saya akan memberikan pendapat tetapi kelab akan membuat keputusan bagi mendapatkan pemain bagi memperkuatkan pasukan.

“Bagi musim ini, kami akan berusaha dengan pemain-pemain sedia ada untuk memastikan kami mengakhiri saingan liga dalam kedudukan terbaik serta berusaha mencipta kejayaan dalam saingan UCL dan Piala Carabao," katanya lagi.