Bastian Schweinsteiger menarik nafas lega apabila mengakhiri tempoh dalam buangan Manchester United dengan kembali menyertai latihan bersama pasukan utama, semalam.

Pemain berusia 32 tahun itu dipinggirkan di Old Trafford sejak kehadiran Jose Mourinho, apatah lagi turut tidak kelihatan dalam gambar rasmi pasukan utama yang dikeluarkan, minggu lalu.

Schweinsteiger tidak dibenarkan berlatih bersama skuad utama sejak beberapa minggu lalu, malah Mourinho dilaporkan telah melarang bekas tonggak Jerman itu daripada beraksi bersama pasukan bawah 23 tahun.

Bagaimanapun, pemain tengah itu membuat kejutan apabila hadir menjalani latihan di kompleks latihan Carrington serta kelihatan sempat bergurau senda dengan Wayne Rooney semasa menjalani sesi latihan penuh.

Dia kemudiannya meluahkannya menerusi akaun laman sosialnya, Twitter, dengan berkata, "Rasa hebat hari ini! Pasukan dalam keadaan baik, keputusan akan menyusul!"

Schweinsteiger tidak akan bersama United untuk kunjungan ke Fenerbahce dalam saingan Liga Europa pada pertengahan minggu ini, namun kelibatnya itu mencetuskan bayangan bahawa dia mungkin akan terlibat dalam perlawanan menentang Swansea City untuk aksi liga, hujung minggu ini.

Laporan di England menyebut United masih lagi akan melepaskan bekas pemain Bayern Munich itu pada jendela perpindahan berikutnya.

Pada Ogos lalu, Mourinho pernah berkata peluang Schweinsteiger untuk beraksi lagi bersama United sangat tipis, "Saya rasa ia sangat sukar berlaku. Saya tidak katakan mustahil. Saya cuma katakan sangat-sangat sukar."

"Saya mempunyai Paul Pogba, Ander Herrera, Morgan Schneiderlin, Marouane Fellaini dan Michael Carrick. Kami mempunyai lima pemain untuk dua posisi, peluangnya sangat sukar."