Jurulatih Chelsea, Maurizio Sarri, berpesan kepada peminat kelab itu agar menunjukkan rasa hormat kepada bekas pengurus, Jose Mourinho, susulan pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) membabitkan kedua-dua pasukan di Stadium Stamford Bridge, kelmarin.

Jaringan Ross Barkley pada minit ke-96 membolehkan Chelsea mengikat Manchester United 2-2 -- gol pada masa kecederaan itu mencetuskan ketegangan di bangku simpanan.

Penolong jurulatih Chelsea, Marco Ianni, meraikan jaringan Barkley itu di hadapan Mourinho dan bangku simpanan United lalu menjengkelkan pengurus Red Devils berkenaan sehingga terpaksa ditenangkan.

Penyokong The Blues turut melaung kepada Mourinho -- yang membalasnya dengan isyarat tiga jari bagi mengingatkan mereka tentang tiga gelaran EPL yang pernah dimenanginya sebagai pengurus Chelsea.

Bercakap mengenai kekeruhan pada penghujung permainan itu, Sarri berkata: "Mourinho pernah mencapai kegemilangan di sini, jadi saya fikir kita perlu menghormatinya dan menghormati semua pihak yang telah memenangi piala untuk kelab ini."

Mengenai insiden di tepi garisan di antara Mourinho dan Ianni, Sarri menambah: "Saya tidak melihat apa-apa.

"Tetapi, selepas perlawanan, saya telah bercakap dengan Jose dan beliau menjelaskan kejadian itu berlaku dengan pantas.

"Saya faham kami bersalah dalam hal ini dan saya telah bercakap dengan Jose serta kakitangan saya yang masih muda (Ianni) dan kami segera menjernihkan keadaan ini.

"Saya telah membawanya kepada Jose untuk mengucapkan maaf, saya fikir isu ini telah berakhir tetapi saya ingin memastikan bahawa kamilah yang salah, kami melakukan kesilapan."