Pengendali Wolverhampton Wanderers, Nuno Espirito Santo, melahirkan rasa bangga sambil memuji 'kekejaman' anak buahnya selepas menewaskan Manchester City 3-2, awal pagi tadi.

Wolves ketinggalan 2-0 di Molineux selepas dua jaringan Raheem Sterling walaupun City kekurangan seorang pemain selepas Ederson dilayangkan kad merah pada minit ke-12.

Bagaimanapun, mereka bangkit dan gol daripada Adama Traore, Raul Jimenez dan Matt Doherty menyaksikan mereka mengejutkan City dan naik ke tangga kelima liga.

Santo memuji keazaman pasukannya itu untuk bangkit tatkala mereka kini dibezakan lapan mata dengan City yang menduduki tangga ketiga.

"Kami beraksi cemerlang dan akan meneruskannya, tidak kira apa yang berlaku, kami akan bersaing," katanya.

"Sudah tentu mereka mengekang permainan kami terutama di sebelah kanan tetapi apa yang penting adalah kekal dalam persaingan. Melepaskan gol kedua menyebabkan tugasan menjadi sukar. Ia adalah pasukan yang sangat bagus tetapi kami beraksi cemerlang, hasilkan jaringan hebat.

"Cara kami mendapatkan jaringan memang hebat, bagaimana kami tunjukkan reaksi dan mengekalkan tekanan buat pemain berprofil tinggi. Ia memerlukan usaha yang tinggi."

Santo jelas berbangga dengan persembahan Wolves dalam babak kedua tatkala mereka bakal bertandang ke pendahulu liga, Liverpool, esok.

"Tidak kira apa keputusannya, saya perlu berbangga dengan corak permainan kami. Kami melakukan kesilapan tetapi perlu seimbang dalam perlawanan. Segalanya berubah apabila City kehilangan seorang pemain," tambahnya.

"Kami banyak memegang bola tetapi sukar mendapatkan penyelesaian. Kami memberi reaksi dalam babak kedua, beraksi mengikut perancangan, menggabungkan dua bahagian, satu lawan satu di bahagian tepi dan saya berbesar hati."


Editor: Nafis Abdullah