Salah: Misi wajib menang 

Oleh Shaiful Shamsudin 17 Januari 2021 1207
Salah: Misi wajib menang 
Mohamed Salah percaya Liverpool wajib menang ke atas Manchester United dalam pertembungan yang melibatkan pertaruhan tinggi, tengah malam ini. 

Penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menjangkakan pertempuran kelab utara-barat berkenaan bertambah rancak berikutannya kedua-duanya bersaing sengit merebut gelaran musim ini.

Penyerang Mesir itu, yang merekodkan 13 gol liga musim ini, sekadar meledak satu jaringan dalam lima perlawanan EPL menjelang pertemuan dengan The Red Devils. 

Dia juga tumpul dalam tiga perlawanan terakhir yang menyaksikan mereka hanya mengumpul satu gol dan dua mata.

Akibat kemerosotan itu, United memintas kedudukan anak buah Jurgen Klopp tersebut di puncak liga teratas menerusi sembilan kemenangan daripada 11 perlawanan terakhir.

"Perlawanan ini cukup getir ketika ini, lebih-lebih lagi mereka mendahului liga dan kami pula di tempat kedua," katanya kepada penyiar TV 2 Norway.

"Mereka juga beraksi dengan baik musim ini. Ini satu perlawanan yang menarik dan kami wajib menang, saya rasa itu adalah perkara paling mustahak. 

"Saya sering mengatakan bahawa ini hanyalah satu perlawanan. Tetapi kali ini jika mereka menang, mereka akan menjarakkan diri dengan enam mata (di depan Liverpool) dan jika kami menang maka kedudukan kami bakal menjadi seimbang, itulah keistimewaan perlawanan ini. "


 


Begitupun, The Reds sukar menerima kegagalan di East Lancs Road memandangkan ketika mereka menewaskan seteru ketat itu 2-0 Januari tahun lalu, mereka mendahului United dengan 30 mata menuju gemilang gelaran. 

Naratifnya berbeza pada musim ini dan jelas sekali penyudah Liverpool perlu dipertajamkan. 

Dalam kekalahan 0-1 di Southampton awal bulan ini -- perlawanan liga terakhir mereka -- kelab dari Merseyside itu melakukan 56 sentuhan di dalam kotak penalti lawan, namun hanya dapat melepaskan satu percubaan tepat sementara 11 lagi gagal.

Ada banyak yang masih perlu diperbetulkan Liverpool apabila gagal mengulangi rentak sama ketika memenangi kejuaraan musim lalu.

Salah sedar tumpuan akan terarah kepadanya bagi memperbaiki nasib mereka.

"Ketika saya dapat menjaringkan gol dan dapat membantu pasukan, ia membuat saya lebih bahagia," katanya. 

"Ketika saya tidak menjaringkan gol dan pasukan gagal meraih kemenangan, maka ia satu mimpi buruk!"
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen