Bekas penyerang, Louis Saha, berkata Ole Gunnar Solskjaer akan berusaha untuk menghasilkan impak jangka masa panjang bersama Manchester United.

Pengurus sementara, Solskjaer, bermula dengan baik kelmarin apabilaUnited membelasah Cardiff City 5-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pengendali kelahiran Norway itu telah dilantik sebagai pengurus sementara selepas dipinjamkan daripada Molde walaupun United memiliki pilihan untuk melanjutkan kontraknya.

Saha, yang pernah beraksi bersama Solskjaer di United pada 2004 dan 2007, percaya dengan kebolehan bekas rakan sepasukannya itu untuk mengambil alih tugas secara tetap di Old Trafford serta mungkin mampu mengulangi budaya yang diketengahkan oleh Alex Ferguson.

"Beliau sudah menunjukkan kebolehannya dalam aksi pertama tetapi saya berasakan Solkjaer mahu membuktikan mampu kekal lama bersama pasukan," kata Saha.

"Beliau akan cuba untuk meningkatkan lagi tahap keyakinan sebelum membentuk keseimbangan serta identiti dalam pasukan, sama seperti apa yang dilakukan oleh Alex Ferguson.

"Solkjaer merupakan seorang yang gemar menyerang, sama seperti Alex Ferguson. Saya masih ingat betapa fokusnya beliau dalam sesi latihan.

"United ketika itu memiliki lima atau enam penyerang. Jika anda menjaringkan gol, anda akan beraksi. Jika tidak, anda akan berada di bangku simpanan. Jadi, anda perlu mencari jalan untuk kekal konsisten. Saya berasakan konsisten adalah perkara yang bakal diketengahkan oleh Solkjaer," katanya.