Ketua pasukan England, Wayne Rooney memohon maaf kepada pemangku jurulatih, Gareth Southgate, selepas gambar-gambarnya yang tidak sesuai tersebar luas.

Pemain berusia 31 tahun itu menawarkan permohonan maaf itu kepada Southgate dan Pengarah Tekniknal Persatuan Bola Sepak England (FA), Dan Ashworth, serta penyokong muda England.

Ia susulan imej yang memaparkannya meraikan sebuah majlis perkahwinan di hotel penginapan pasukan itu dalam keadaan mabuk -- tiga hari menjelang aksi persahabatan berdepan Sepanyol -- menerusi akhbar The Sun.

Rooney didakwa menghadiri majlis tersebut yang diadakan di hotel penginapan pasukan England, 24 jam selepas pasukan itu meraih kemenangan 3-0 ke atas Scotland dalam kempen Kelayakan Piala Dunia.

Rooney terlepas aksi berdepan Sepanyol, dengan Southgate menegaskan pemain itu tersisih akibat kecederaan ringan di bahagian lutut, sehingga mendorong Southgate mengulangi punca tonggak Manchester United tidak dapat diturunkan.

"Wayne begitu kesal dengan gambar-gambar yang tersiar pada hari ini yang diambil bersama peminat," menurut kenyataan jurucakap kumpulan pengurusan Rooney.

"Meskipun para pemain dan pegawai pasukan mendapat cuti sehari, dia sedar bahawa imej itu tidak sesuai berdasarkan kedudukannya.

"Wayne sudah pun berjumpa dengan Gareth Southgate dan Dan Ashworth secara peribadi bagi memohon maaf.

"Dia juga ingin meminta maaf kepada peminat muda yang telah melihat gambar-gambar tersebut."

Susulan itu, pihak FA telah mengkaji semula polisi membabitkan masa terluang pemain England selepas kontroversi yang menyelubungi Rooney itu.

FA mengesahkan tindakan itu dan memperingatkan skuad itu mengenai tanggungjawab mereka.

"Kesemua anggota skuad England perlu bertanggungjawab dan berkelakukan sopan pada setiap masa," menurut kenyataan badan induk itu.

"Kami akan mengkaji semula polisi kami pada waktu senggang semasa tugasan antarabangsa."