Bekas kapten Manchester United, Bryan Robson, mahu menyaksikan Jack Grealish berpindah ke Old Trafford.

Bintang Aston Villa, Grealish, telah dikaitkan dengan Red Devils sejak 18 bulan yang lalu tetapi masih tiada lagi usaha untuk menandatanganinya.

Bagaimanapun, dengan masa depan Paul Pogba masih lagi samar, perbincangan sekali lagi timbul dan dijangka Ole Gunnar Solskjaer akan melihat Grealish sebagai pengganti buat bintang Perancis itu.

Pemain kebangsaan England itu telah menghasilkan 55 peluang menjaringkan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi musim 2020-21 daripada hanya 15 penampilan.

Pemain berusia 25 tahun itu merupakan watak penting dalam meningkatkan mutu permainan Villa secara keseluhan musim ini, melakukan 11 peratus daripada keseluruhan hantaran dan mendapatkan 73 faul, paling banyak daripada mana-mana pemain saingan tersebut.

Bekas kapten United, Robson, juara liga dua kali bersama United, berasakan Ole Gunnar Solskjaer akan mengambil langkah bijak jika membawa masuk Grealish ke dalam pasukannya.

"Ia adalah keputusan yang tepat memberikan [Jack Grealish] lilitan kapten bersama [Aston Villa]," katanya. "Saya berasakan ia menjadikan dirinya lebih matang.

"Dia seorang pemain yang kuat. Memiliki kekuatan fizikal, pantas dan cara dia melepasi pemain lawan sentiasa menghadirkan ancaman jadi sebab itu dia kerap mendapatkan sepakan percuma. Dia dan Villa musim ini telah bermain dengan baik.

"Grealish telah dikaitkan dengan United dan saya tidak kisah menyaksikan dia bersama United."