Marcus Rashford percaya "tempoh sukar" di Manchester United ketika di bawah kendalian Jose Mourinho telah menjadikannya pemain yang lebih baik.

Penyerang England itu menjadi tunjang utama pada awal musim 2016-17 sebelum pengurus Portugis itu dipecat pada Disember 2018.

Penggempur berusia 23 tahun itu sempat memenangi Piala Liga Inggeris (EFL) dan Liga Europa tetapi peluangnya terhad selain perlu bertindak di bahagian sayap manakala Zlatan Ibrahimovic atau Romelu Lukaku diberi peranan di jentera serangan tengah.

Di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer, Rashford telah berkembang apabila menyumbat 19 gol dalam semua kejohanan musim ini -- jumlah jaringan terbaiknya -- sebelum dilanda kecederaan berganda di bahagian belakang disusuli penggantungan Liga Perdana Inggeris (EPL) berikutan penularan novel koronavirus (Covid-19).

Walaupun mungkin tidak kerap mempamerkan sentuhan terbaik ketika mendapat tunjuk ajar Mourinho, Rashford yakin ia adalah detik yang akan membuatkannya bertahan dengan baik.

"Itu sukar tetapi saya fikir apabila anda mengimbas semula usaha lima atau enam tahun, inilah saat-saat yang memberikan anda keteguhan mental," kata Rashford kepada UTD Podcast.


"Sebagai pemain serba boleh, saya telah meningkat dengan pesat dan itu semua banyak bergantung ketika saya di bawah kendalian Jose selama dua tahun.

"Kami mengalami pasang surut. Ketika saya menyorotnya kembali, itu adalah tempoh yang sukar tetapi nyata sekali ia merupakan tempoh yang menjadikan saya seorang pemain yang lebih baik."

Rashford juga memuji impak Ibrahimovic, yang kini kembali ke Milan setelah menikmati karier di Amerika Syarikat bersama LA Galaxy sejurus meninggalkan The Red Devils.

"Mentalnya lebih tinggi daripada apa yang pernah saya saksikan," tambahnya.

"Dia tidak peduli apa yang orang akan katakan kepadanya atau apa yang orang katakan tentangnya.

"Daripada segi mentalnya, Zlatan adalah kunci kepada perkembangan saya, khususnya ketika Jose berada di sini memandangkan dia pernah diuruskan oleh pengurus itu jadi adalah penting untuk saya tahu cara tertentu untuk bertahan di bawah kendaliannya."