Pemain tengah Arsenal, Aaron Ramsey, menjangkakan lebih banyak gol akan diledak oleh Alexandre Lacazette musim ini selepas mempamerkan aksi cemerlang.

Pemain kebangsaan Perancis itu telah menjaringkan empat gol dalam tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak menyertai kelab London itu dari Lyon dengan kontrak selama lima tahun yang bernilai GBP46 juta (RM257 juta).

"Saya sangat berpuas hati dengan persembahannya setakat ini dan saya pasti lebih banyak gol akan dihasilkan oleh Lacazette dalam perlawanan-perlawanan akan datang," kata Ramsey.

"Dia seorang yang pemain yang memiliki teknik yang baik, kemas melakukan sentuhan dan memiliki sentuhan penyudah yang berbisa.

"Kami sangat gembira kerana Lacazette menyertai Arsenal," katanya.

Terdapat jurang bahasa di antara Lacazette dan rakan sepasukannya dan dia sedang mempelajari bahasa Inggeris bagi membantunya menyesuaikan diri di England.

"Saya dapat berasakan terdapat peningkatan dalam permainannya apabila kami kini lebih mudah untuk berkomunikasi. Saya berharap gandingan yang lebih mantap mampu dibentuk bagi menghadapi musim ini," tambahnya.