BURNLEY 2 CHELSEA 4

Christian Pulisic mula menikmati permainannya di Chelsea selepas membalas kepercayaan Frank Lampard dengan meledak hatrik ketika mengatasi Burnley 4-2, semalam.


Sejak diketepikan daripada kesebelasan utama Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Ogos lalu, Pulisic menggantikan Callum Hudson-Odoi untuk aksi di Turf Moor itu dan menjaringkan gol pembukaan selepas perlawanan berlangsung selama 21 minit.

Pemain berusia 21 tahun itu, yang melakukan bantuan jaringan untuk Michy Batshuayi ketika merakamkan kemenangan 1-0 ke atas Ajax dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), meledak dua lagi gol dalam separuh masa kedua untuk melengkapkan hatriknya.

Pulisic memilih jaringan pertamanya sebagai yang terbaik dalam perlawanan itu -- menggelecek melepasi pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan -- dan mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukannya di atas kemenangan itu.

"Jaringan yang terhasil amat menakjubkan. Ia merupakan persembahan yang berkualiti daripada Chelsea.

"Saya berharap kami mampu menamatkan permainan tanpa dibolosi. Jaringan pertama Burnley berpunca daripada saya kerana kehilangan kawalan bola, saya perlu meningkatkan lagi permainan saya.

"Amat menakjubkan, rakan sepasukan menghadirkan permainan yang penuh bertenaga dan saya sangat gembira beraksi bersama mereka," katanya.

Sejak tiba di Stamford Bridge daripada Borussia Dortmund, Pulisic telah melakukan tujuh penampilan, termasuk empat dalam kesebelasan utama dan pemain skuad kebangsaan Amerika Syarikat itu berkata permulaan hambarnya tidak melunturkan semangatnya.

"Saya menyertai pasukan ini dan mahu mencipta impak," katanya.

"Ia tidak berlaku serta-merta, jadi saya perlu bekerja keras.

"Chelsea sudah mula menampilkan aksi positif dan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan. Tumpuan seterusnya adalah berdepan Manchester United dalam saingan Piala EFL."