LIVERPOOL 2 WEST BROM 1

Pengurus West Brom, Tony Pulis, berkata Liverpool mampu menduduki takhta Liga Perdana Inggeris musim ini selepas mereka tewas di Anfield 2-1, semalam.

Jaringan Sadio Mane dan Philippe Coutinho memberikan pasukan tuan rumah kawalan penuh permainan dalam separuh masa pertama.

Gareth McAuley meledak satu gol buat The Baggies pada baki 10 minit perlawanan, namun skuad bimbingan Klopp memastikan tiga mata diraih untuk berada di tangga teratas liga, berkongsi mata dengan Arsenal.

Kali terakhir Liverpool memenangi liga ialah pada 1990. Inspirasi Brendan Rodgers dan Luis Suarez pada musim 2013-14 hampir menamatkan kemarau itu, dan Pulis yakin tidak beraksi di pentas Eropah mampu memberikan kelebihan buat mereka.

"Mereka adalah sebuah pasukan yang berkualiti, pemain yang beraksi di atas padang mahupun pemain gantian, Liverpool memiliki peluang yang cerah untuk menjulang gelaran juara liga," kata Pulis.

Mengenai persembahan pasukannya, Pulis kecewa kerana dibolosi dua kali dalam babak pertama perlawanan.

"Liverpool mengawal perlawanan pada babak pertama perlawanan tetapi kami telah melakukan beberapa kesilapan.

"Gol pertama, Darren Fletcher dan Claudio Yacob gagal mengawal bahagian tengah ketika mereka melancarkan serangan.

"Ia merupakan satu gol yang mengecewakan pada pandangan kami dan Liverpool terus memberikan tekanan sebelum meledak gol kedua.

"Sukar untuk bangkit daripada ketinggalan 2-0 ketika bertemu pasukan seperti ini. Tetapi kami telah memberikan segala-galanya untuk meneruskan permainan sehingga tamat."