Zlatan Ibrahimovic percaya bahawa kepulangannya ke dalam skuad Manchester United tidak berada dalam tekanan selepas prestasi hebat rakan sepasukan, Romelu Lukaku.

Sejak tiba ke United dari Everton pada musim panas lalu, Lukaku telah menjaringkan 11 gol dalam 14 perlawanan dalam semua kejohanan dan tujuh daripadanya adalah dalam saingan liga.

Ibrahimovic, yang kembali ke Old Trafford selepas menjadi ejen bebas akibat kecederaan lutut yang dialami pada April lalu, telah menjaringkan 28 gol dalam musim pertamanya bersama Red Devils, termasuk membantu pasukan memenangi Perisai Komuniti, Piala Liga serta Liga Europa.

Penyerang berusia 36 tahun dari Sweden itu dijangka kembali beraksi pada Disember dan dia sedar perlu bersaing dengan Lukaku untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, bekas penggempur AC Milan, Paris-Saint Germain (PSG) serta Barcelona itu gembira dengan kehadiran penyerang Belgium itu.

"Saya adalah sebahagian daripada pasukan dan akan turut membawa semangat, kekuatan mental, pengalaman serta kualiti yang dimiliki apabila kembali beraksi.

"Pasukan kini lebih kuat. Lukaku berada dalam pasukan dan menjaringkan banyak gol, jadi dia menjadikan tugas lebih mudah buat saya kerana pada musim lalu, kami tidak dapat menukar peranan apabila beraksi.

"Kami berjaya menjaringkan gol tetapi tiada perubahan buat jurulatih. Musim ini lebih mudah. Lukaku seorang yang positif dan dia telah mengurangkan tekanan buat saya apabila kembali," ujar Ibrahimovic.

"Saya rasa banyak perkara yang mampu saya lakukan buat United. Saya tidak beraksi selama enam bulan tetapi percayalah, apabila kembali, saya lebih bermotivasi, dahagakan kejayaan."

Manchester United bakal melayani kunjungan Tottenham Hotspur di Old Trafford pada malam ini ketika kedua-dua pasukan terikat dengan 20 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City.