Bintang Manchester United, Paul Pogba, mengakui masalah yang dihadapinya dengan Jose Mourinho, namun berterima kasih kepada bekas pengurus itu kerana membantu peningkatannya sebagai pemain.

Tempoh dua setengah tahun Mourinho dengan United ditamatkan Selasa lalu ekoran kekalahan 1-3 kepada seteru utama, Liverpool.

Sebahagian daripada era Mourinho bersama United lebih berkisar tentang hubungan tegangnya dengan beberapa pemain dan dia dilaporkan mempunyai hubungan kurang baik dengan Pogba menjelang pemecatannya.

Bekas kapten United, Gary Naville, mengecam bintang Perancis itu dengan mendakwa Pogba "menari di atas kubur pengurus" ekoran kiriman media sosial yang dilakukan pemain itu selepas berita pemecatan Mourinho tersebar.

Selepas United menewaskan Cardiff City 5-1, awal pagi tadi, Pogba mengakui hubungan tegangnya dengan Mourinho, namun tidak teragak-agak untuk berterima kasih kepada bekas pengurusnya itu.

"Saya tahu anda semua mahu mendengar saya bercakap tentang Jose dan kemenangan hari ini.

"Kami gembira dengan kemenangan ini.

"Kami bermain baik dengan semangat sepasukan yang tinggi.

"Tentang Jose pula, kami memenangi beberapa piala sewaktu bersamanya.

"Saya mahu berterima kasih kepadanya atas sebab itu.

"Tidak semua benda berlangsung baik sewaktu bersamanya, namun tetap ada sisi baik yang saya perlu berterima kasih kepadanya.

"Kami memenagi piala dan kejayaan itu akan meningkatkan taraf seorang pemain.

"Perkara itu sudah berlalu dan saya hanya mahu berterima kasih kepadanya.

"Saya yakin setiap pemain tidak sabar untuk beraksi dalam perlawanan seterusnya.

"Kami perlu meraih mata dan mengejar kedudukan teratas liga.

"Prestasi pasukan kini di tahap terbaik.

"Kami gembira kerana pengurus baru (pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer) memperoleh kejayaan seperti ini dan kami perlu mengekalkannya.

"Kami tidak boleh bermain hebat dan menjaringkan lima gol seperti itu, namun tewas dalam perlawanan seterusnya," katanya.