LEICESTER CITY 0 TOTTENHAM 2

Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, tidak akan ragu-ragu mengerah pemain muda, Kyle Walker-Peters, untuk aksi Liga Juara-Juara (UCL) menentang Barcelona, awal pagi Rabu ini.


Pertahanan berusia 21 tahun itu membuat penampilan sulung dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini susulan kecederaan yang menimpa Serge Aurier dalam kemenangan 2-0 ke atas Leicester City, awal pagi tadi.

Harry Kane dan Christian Eriksen hanya diletakkan di bangku simpanan untuk menikmati gol yang dihasilkan Son Heung-min dalam separuh masa sebelum Dele Alli merekodkan golnya yang ke-50 bersama Spurs.

Tonggak England, Kieran Trippier, dijangka terlepas kunjungan ke Camp Nou ekoran masalah pangkal paha, bermakna Walker-Peters bakal menggalas tugas getir untuk mengekang pemain seperti Ousmane Dembele sambil pengurus Barcelona, ​​Ernesto Valverde, membayangkan Lionel Messi mungkin direhatkan.

Tottenham memerlukan keputusan yang lebih baik daripada Inter yang akan bertemu PSV apabila mereka menghadapi Barca nanti untuk melolosi Kumpulan B.

"Skuad adalah paling utama. Hari ini, Kyle Walker-Peters memikul tanggungjawab dan jika mereka (Trippier atau Aurier) tidak bersedia, maka Kyle akan bermain," kata Pochettino kepada BT Sport.

"Dia seorang pemain yang hebat, lebih muda tetapi dia akan memberikan yang terbaik jika kami perlu menurunkannya."

Messi menyumbat dua gol menerusi sepakan percuma ketika Barcelona membenam Espanyol 4-0 awal pagi tadi, namun dalam sidang media selepas perlawanan, Valverde memberitahu bahawa barisan pemain bintangnya boleh direhatkan dalam aksi pertengahan minggu itu nanti.

"Kami menghormati saingan ini dan kami mahu memenangi perlawanan ini," katanya.

"Kami akan menurunkan barisan pemain mengikut keperluan Barcelona, ​​bukannya Inter. Kami memikirkan soal kemenangan."

Tottenham kembali ke tangga ketiga Liga Perdana susulan dua kemenangan selepas kekalahan kepada seteru setempat, Arsenal, hujung minggu lalu.

Anak buah Pochettino kini enam mata di belakang pendahulu baru, Liverpool, dan lima mata dipisahkan dengan juara menanti, Manchester City, yang menempa kekalahan liga pertama kepada Chelsea, awal pagi tadi.

"Masih ada banyak perlawanan untuk dimainkan. Kami belum pun selesai separuh perjalanan musim ini," kata pengurus berbangsa Argentina itu sambil merenung prospek pasukannya dalam pemburuan gelaran liga.

"Jurang mata terkini adalah lima dan enam mata. Jika dibandingkan dengan musim lalu, ia adalah jurang yang jauh lebih baik.

"Bagaimanapun, itu tidak membawa makna apa-apa kerana musim ini masih panjang. Perkara yang paling penting adalah berada di sana, iaitu dalam enam atau tujuh perlawanan terakhir musim ini untuk mencabar kejuaraan.

"Kami akan cuba, kami akan menjadi semakin utuh sambil membuktikan bahawa kami memang berhak berada di sana," ujarnya.