Mauricio Pochettino mendedahkan bahawa dia berharap memiliki peluang untuk kembali ke Tottenham Hotspur suatu hari nanti bagi menyelesaikan apa yang telah dimulakannya.

Bekas pemain kebangsaan Argentina itu mengemudi Spurs lebih daripada lima tahun, dengan membawa pasukan itu ke dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris dalam kesemua musimnya bersama kelab itu, termasuk mara ke final Liga Juara-Juara Eropah tahun lalu.

Bagaimanapun, dia gagal untuk menjelmakan sebarang trofi sepanjang tempoh itu dan dengan pasukannya bergelut di kelompok separuh terbawah, dia terpaksa meninggalkan pasukan itu November lalu.

Jose Mourinho dipilih sebagai penggantinya, namun Pochettino percaya bahawa dia dan Spurs akan kembali bersatu pada masa akan datang dengan mengakui kelab itu memiliki satu tempat yang istimewa di lubuk hatinya.

"Ia satu perjalanan menakjubkan yang ditamatkan dengan cara yang tiada siapa mahukan penamat seperti itu," katanya ketika tampil dalam BT Sport.

"Tetapi jauh di dada saya, di jiwa saya, di dalam hati saya, saya pasti kami akan kembali bersatu.

"Sudah pasti sejak saya meninggalkan kelab itu sehingga ke hari ini, impian saya adalah untuk pada suatu hari nanti saya dapat kembali ke sana untuk menyelesaikan apa yang kami tidak dapat selesaikan.

"Kami sudah terlalu hampir untuk memenangi trofi yang sepatutnya. Trofi Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-juara. Kami sudah terlalu hampir. Kami menamatkannya dengan cara seperti ini.

"Sudah tentu saya sudah bersedia untuk melupakannya dan saya amat bermotivasi untuk projek yang seterusnya.

"Tetapi jauh di dalam diri saya, saya mahu kembali (ke Spurs) satu hari nanti.

"Kelab ini istimewa, penyokongnya amat istimewa," katanya.

Pochettino menambah: "Mungkin dalam lima tahun, mungkin dalam 10 tahun tetapi sebelum saya mati, saya mahu kembali menguruskan spur dan mencuba,jika mampu, untuk memenangi satu kejuaraan.

"Saya mahu rasa bagaimana perasaannya untuk memenangi satu kejuaraan buat Tottenham kerana peyokongnya amat luar biasa.

"Semua rasa sayang yang kami terima amat luar biasa dan ia (memenangi kejuaraan) merupakan peluang yang baik untuk membalas rasa sayang yang telah diberikan mereka kepada kami sejak hari pertama lagi."

Pochettino dikaitkan untuk kembali ke liga divisyen utama Inggeris itu dengan menyertai Newcastle United, yang dilaporkan akan bertukar pemilik.