Mauricio Pochettino percaya penyerang Tottenham, Harry Kane, akan terus meningkatkan mutu permainannya dalam setiap perlawanan.

Kane hanya memerlukan satu gol ke atas The Saints untuk mengatasi Shearer sebagai penjaring terbanyak dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam tahun yang sama.

Pemain berusia 24 tahun itu telah menyamai rekod 22 tahun Shearer itu dengan 36 gol selepas meledak hatrik ketika bertemu Burnley dan hanya memerlukan satu gol untuk memadam rekod tersebut.

Pochettino menyifatkan Kane masih lagi mempamerkan peningkatan dalam permainannya dan berharap dia mampu meneruskan prestasi ini.

"Shearer merupakan pemain berkualiti, rekodnya telah lama terpahat dan Kane berada dalam landasan terbaik untuk menjadi salah seorang pemain terbaik England," kata Pocchettino.

"Saya berasakan Shearer telah menjaringkan gol secara konsisten selama 10 tahun. Beliau telah melakukan sesuatu yang menakjubkan dan setiap pemain menghormatinya.

"Saya berharap Kane dapat melakukan perkara yang sama dan mahu dia menjaringkan 50 gol setiap musim," katanya.

Kane yang hanya ketinggala kepada Teddy Sheringham dalam senarai penjaring terbanyak Tottenham sepanjang zaman, telah meledak 15 gol musim ini.

Pochettino yakin penyerang itu masih lagi meningkat naik.

"Saya berpendapat masih ada ruang buat Kane untuk meningkat naik. Seseorang pemain akan mencapai tahap terbaik mereka pada usia 27, 28 atau 29 tahun bergantung kepada sikap pemain itu sendiri," tambahnya.