Pochettino: Penyokong dibenarkan impi kejayaan Spurs

Oleh Staff Writer 27 Disember 2018 653
Pochettino: Penyokong dibenarkan impi kejayaan Spurs
TOTTENHAM 5 BOURNEMOUTH 0

Mauricio Pochettino memberitahu kepada penyokong Tottenham untuk memasang impian menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).


Spurs meneruskan rentak kemenangan 6-2 ke atas Everton dengan membelasah Bournemouth 5-0 semalam, sekali gus memintas Manchester City untuk menghuni tangga kedua liga.

Skuad bimbingan Pochettino itu kekal ketinggalan enam mata kepada pendahulu EPL, Liverpool, tetapi kini menjadi pencabar utama untuk merebut takhta liga.

"Penyokong sudah mula dibenarkan untuk mengimpikan apa sahaja," katanya. "Tetapi apa yang berlaku di dalam kelab adalah sesuatu yang berbeza.

"Bola sepak memerlukan impian dan kepercayaan tetapi menghormati kejohanan dan lawan juga merupakan perkara yang penting.

"Liverpool dan Manchester City memiliki sejarah tersendiri kerana mereka pernah bergelar juara.

"Bagi kami, perjalanan masih jauh dan sentiasa meletakkan kepercayaan bahawa kami mampu melakukannya."

Ketika mengatasi Bournemouth, Christian Eriksen, Son Heung-min, Lucas Moura dan Harry Kane mencetak nama selaku penjaring, dan Pochettino menambah, "Saya berasakan sangat penting buat pasukan untuk meneruskan momentum.

"Saya sangat berpuas hati kerana kami kekurangan satu hari untuk melakukan persiapan -- Bournemouth telah bermain sehari awal sebelum kami."

Pengendali Bournemouth, Eddie Howe, terpaksa meratapi kekalahan yang menimpa pasukannya.

"Ia adalah perlawanan yang sukar. Setiap percubaan mereka bertukar menjadi jaringan," katanya.

"Spurs memiliki barisan pemain berkualiti. Saya agak kecewa kerana kami turut menghasilkan peluang tetapi gagal menyempurnakannya dan terpaksa menerima kekalahan ini."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen