Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, berang dengan persepsi buruk yang dilemparkan terhadap pasukannya yang dilihat tidak mahu berbelanja besar.

Pochettino bertekad mahu memadam segala pandangan negatif yang kerap kali membelenggu pasukan London itu walaupun mereka masih lagi dalam kelompok atasan liga musim ini.

Spurs melangkah ke separuh akhir Piala EFL selepas menundukkan seteru London mereka, Arsenal, 2-0 kelmarin.

Mereka juga mengikat Barcelona 1-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, minggu lalu, yang memastikan kemaraan pasukan itu ke pusingan 16.

Spurs kini di kedudukan ketiga liga dan Pochettino menganggap hanya satu keputusan buruk diperlukan bagi mengubah tanggapan baik terhadap pasukannya itu kepada sesatu yang berlawanan.

Ia disebabkan Spurs tidak mengambil sebarang pemain baru awal musim ini dan tidak menjuarai sebarang kejohanan sejak 2008.

"Jika kami tidak mengambil pemain baru bulan depan, mereka akan katakan yang kami akan bergelut sepanjang baki musim.

"Ia sangat negatif.

"Mereka sepatutnya mengatakan kami tidak mengambil pemain baru kerana mempunyai kekuatan yang cukup untuk menghadapi musim ini.

"Namun, ia tidak berlaku.

"Apa yang selalu diperkatakan sentiasa bersifat negatif.

"Ia berdasarkan sejarah kami.

"Kami perlu meghapuskan persepsi itu dan berbangga dengan pasukan.

"Kita lihat sewaktu kami mengambil Paulo Gazzaniga ke dalam pasukan.

"Mereka katakan 'Oh, Tottenham hanya membawa masuk seorang penjaga gol ketiga'.

"Adakah ia teruk? Tidak.

"Ia sesuatu yang amat buruk dan memalukan.

"Selepas satu setengah tahun, Paulo beraksi dengan amat baik.

"Dia membantu kami untuk tidak bolos buat kali pertama berdepan Arsenal di Emirates.

"Dia amat hebat.

"Disebabkan tanggapan buruk itu, kami tidak dapat membuat keputusan dengan bebas.

"Kami memerlukan kebebasan untuk membuat keputusan.

"Benar, kami membaca akhbar dan mendengar rintihan peminat.

"Namun, kami memerlukan kebebasan untuk membuat keputusan," katanya.