Robert Pires mengakui Arsenal dalam masalah besar sambil menawarkan sokongan terhadap Unai Emery sebagai pengurus yang tepat untuk mengubah nasib mereka.

Jaringan Alexandre Lacazette pada masa kecederaan -- jaringan keduanya dalam perlawanan itu -- menyelamatkan maruah mereka apabila seri 2-2 dengan Southampton kelmarin, yang menyaksikan Arsenal kemarau kemenangan dalam lima perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).

Selepas 13 perlawanan, The Gunners kini tercicir lapan mata dengan pasukan di tangga keempat, Chelsea.

Keputusan hujung minggu lalu itu menggandakan lagi tekanan kepada Emery dan meningkatkan kegelisahan penyokong Arsenal.

Tetapi Pires, yang memenangi dua gelaran EPL dan dua Piala FA ketika Arsenal di bawah bimbingan Arsene Wenger, percaya Emery mampu membetulkan prestasi mereka.

"Semua orang tahu di Arsenal, bahkan termasuk Unai Emery sendiri, bahawa mereka sedang dalam masalah besar," Pires memberitahu Omnisport ketika bercakap dalam Jelajah Trofi Liga Juara-Juara (UCL) tajaan Nissan.

"Tetapi (Emery) adalah seorang pencabar, dia tahu selok-belok di tahap yang tinggi. Dia seorang pengurus yang hebat di Sevilla dan Paris Saint-Germain (PSG) tetapi keadaannya ketika ini tidak begitu baik.

"Dia seorang pengurus yang bagus. Saya fikir dia akan berjaya di Arsenal, saya menaruh harapan terhadapnya. Keadaannya tidak begitu baik tetapi dia dan barisan pemain perlu mencari penyelesaiannya."

Pires berkata Arsenal perlu terus berjuang untuk menduduki kelompok teratas memandangkan UCL adalah kancah buat pemain terbaik.

Dia berkata: "Sasaran buat Arsenal dan Unai merupakan kedudukan empat pasukan teratas kerana adalah sangat penting untuk Arsenal kembali bermain dalam UCL musim depan.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada akhir musim ini, terutama buat Arsenal. Bagi beberapa pemain -- (Pierre-Emerick) Aubameyang, Lacazette, atau Mesut Ozil -- perkara pertama bagi mereka dan semua pemain Arsenal adalah menamatkan saingan di tangga teratas."

Seteru mereka di utara London, Tottenham, mengalami pergolakan pada pertengahan minggu lalu apabila menggantikan Mauricio Pochettino dengan Jose Mourinho berikutan permulaan buruk dalam kempen musim ini.

Mourinho bermula dengan langkah kanan menerusi kemenangan 3-2 di West Ham dan meskipun beliau kini mengemudi musuh ketat Arsenal itu, Pires tetap gembira melihat bekas pengurus Manchester United dan Chelsea tersebut kembali mewarnai EPL.

"Saya fikir secara umumnya ia adalah berita yang hebat buat bola sepak dan sudah tentu untuk EPL. Semua orang tahu bahawa Mourinho adalah salah satu pengurus terbaik di dunia," kata Pires.

"Dia memenangi banyak gelaran: Sepanyol, Itali, dan tentu saja di United Kingdom (UK). Di UK, kita sudah sedia maklum mengenai perseteruan di antara Spurs dan The Gunners tapi ini adalah bola sepak dan saya sangat sedih untuk melihat Mauricio Pochettino dipecat.

"Dia seorang pengurus yang hebat. Enam bulan lalu mereka mara ke final UCL. Malang baginya kerana tewas kepada Liverpool dan sekarang dipecat pula.

"Jadi, baik pemain mahupun pengurus, ini satu perkara yang sukar."