Piala EFL: Tonggak muda Arsenal buat Arteta tersenyum

Oleh Shaiful Shamsudin 24 September 2020 1081
 Piala EFL: Tonggak muda Arsenal buat Arteta tersenyum
LEICESTER 0 ARSENAL 2

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, percaya adalah sukar bagi Mesut Ozil untuk menembusi pasukan The Gunners yang sedang berkembang.


Kontrak Ozil berakhir pada hujung musim ini dan masa depan pemain berusia 31 tahun itu menjadi sasaran spekulasi hangat berikutan menolak langkah pemotongan gaji ketika krisis COVID-19 memuncak.  

Kelab London utara itu pada mulanya menolak untuk mengurangkan gaji sebanyak 12.5 peratus selama 12 bulan tetapi sebaik Arteta dilaporkan campur tangan, barisan anak buahnya kecuali Ozil bersetuju untuk menerima cadangan berkenaan. 

Bekas bintang Real Madrid itu tidak setuju dengan langkah berkenaan kerana berasakan ia seperti memaksa pemain untuk membuat keputusan dengan terburu-buru. 

Bekas bintang antarabangsa Jerman itu tidak muncul dalam skuad utama sejak perlawanan bertemu West Ham dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 7 Mac lalu dan sekali lagi kelibatnya tidak kelihatan ketika mereka mara ke pusingan keempat Piala Liga Inggeris (EFL) menerusi kemenangan 2-0 ke atas Leicester City, awal pagi tadi. 

Sejurus perlawanan itu, Arteta enggan mengulas panjang persoalan mengenai masa depan Ozil, pengurus berbangsa Sepanyol tersebut sebaliknya memberi bayangan bahawa dia mungkin berdepan kesukaran untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama. 
 

"Pasukan ini sedang meningkat; anda boleh melihat sendiri tahap yang mereka telah capai," katanya dalam sidang akhbar. 

"Inilah kedudukan kami ketika ini. Kami ingin berkembang lebih pesat selain beraksi dan bersaing dengan lebih baik.

"Saya sangat gembira dengan persembahan di sini, mereka menyukarkan kakitangan kejurulatihan untuk memilih skuad.

"Anda boleh lihat bahawa pemain yang kami ubah, gunakan, persaingannya sangat sengit pada setiap minggu, bukan buat Mesut sahaja malah terhadap beberapa pemain lain juga. Setiap minggu kami berusaha memilih pemain yang tepat.

"Ini juga sukar bagi pemain lain yang tidak terlibat dalam EPL dan juga tidak beraksi malam ini. Skuad ini terdiri daripada 26, 27 pemain dan kami tidak dapat menawarkan minit permainan yang banyak kepada mereka semua.

"Saya cuba memilih pemain yang pada pendapat saya berada dalam keadaan lebih baik."

Arteta membuat tujuh pertukaran berbandingan pasukan yang menewaskan West Ham hujung minggu yang menyaksikan gol sendiri oleh Christian Fuchs dan jaringan kedua daripada Eddie Nketiah pada lewat permainan mengesahkan tiket mereka ke pusingan berikutnya. 

Arsenal sememangnya berhak untuk menang, lantas pengurus itu berasa senang dengan pendekatan pasukannya biarpun berdepan kemungkinan menempuhi perlawanan sukar.

"Saya sangat gembira dengan persembahan mereka; pertama sekali tentang sikap dan cara kami mendekati perlawanan secara mentalnya," tambahnya.

"Pemain senior memimpin dengan baik dan saya dapat lihat mereka ke mari untuk menang dan kami juga sangat gembira dengan kesemua pemain muda kami, cara mereka berkembang dan cara mereka beraksi."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen