Piala EFL: Arsenal jumpa Leicester, City nantikan Bournemouth atau Palace

Oleh Muzaffar Musa 7 September 2020 1450
Piala EFL: Arsenal jumpa Leicester, City nantikan Bournemouth atau Palace
Arsenal akan berkunjung ke laman Leicester City bagi perlawanan pusingan ketiga Piala EFL manakala juara bertahan, Manchester City, akan bertemu sama ada Bournemouth atau Crystal Palace sementara Liverpool pula akan menantikan pemenang perlawanan di antara Bradford City dan Lincoln City.

Memandangkan kejohanan itu perlu dilangsungkan dengan jadual yang lebih padat susulan musim lalu ditamatkan lewat gara-gara pandemik koronavirus, undian bagi pusingan kedua dan ketiga dijalankan serentak awal pagi tadi.

Hasil undian itu menyaksikan The Gunners akan berkunjung ke Stadium King Power manakala City -- yang menewaskan Aston Villa untuk memenangi trofi itu buat tahun ketiga berturut-turut Februari lalu -- mendapat kelebihan beraksi di laman sendiri.

Liverpool akan bertandang ke laman lawan dari liga bawahan, sama seperti Manchester United yang akan menghadapi pasukan daripada Liga Kejuaraan, Reading atau Luton Town.

Everton pula perlu mengatasi Salford City dalam pusingan kedua dengan pemenang dalam perlawanan itu akan bertemu sama ada  Fleetwood Town atau Port Vale.

Leyton Orient atau Plymouth akan menantikan skuad bimbingan Jose Mourinho, Tottenham Hotspur, dalam pusingan ketiga sementara Chelsea akan melayani Middlesbrough atau Barnsley.

 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen