Aksi pusingan keempat Piala EFL di antara Leicester City dan Southampton ditunda kepada 27 November ini ekoran kematian Pengerusi Leicester, Vichai Srivaddhanaprabha, Sabtu lalu.

Sejurus selepas keputusan seri di antara Leicester dan West Ham United di Stadium King Power, helikopter yang dinaiki Srivaddhanaprabha terhempas di kawasan parkir stadium berkenaan.

Leicester pada Ahad lalu mengesahkan bahawa lima individu terkorban dengan Srivaddhanaprabha -- yang ramai melabelkan dirinya sebagai faktor kejayaan The Foxes muncul juara musim 2015/16 -- salah seorang daripada mangsa berkenaan.

Sebagai tanda penghormatan, aksi Piala EFL yang sepatutnya berlangsung pada hujung bulan lalu terpaksa ditunda.

Perlawanan itu akan dilangsungkan pada 27 November dan pemenang perlawanan itu akan menanti kunjungan juara bertahan, Manchester City, di peringkat suku akhir.