Jurgen Klopp berpandangan aksi cemerlang Trent Alexander-Arnold ketika berdepan Leicester masih 'tidak sempurna'.

Juara Piala Dunia Kelab itu meraih kemenangan 4-0 ke atas pencabar terdekat mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dalam aksi sehari selepas Hari Krismas, sekali gus mendahului saingan dengan berkelebihan 13 mata.

Alexander-Arnold melakukan bantuan jaringan buat kedua-dua jaringan Roberto Firmino sebelum menyempurnakan satu gol dengan penuh bergaya.

Aksi lima bintang daripada pemain berusia 21 tahun itu menghadirkan persoalan sama ada dia adalah pemain terbaik dunia dalam posisi tersebut, namun Klopp enggan mengulas panjang.

"Saya tidak begitu berminat sebenarnya," kata Klopp dalam sidang media pasca-perlawanan.

"Dia bermain baik tetapi tidak sempurna. Namun, dia banyak melakukan hantaran berkualiti dan membantu pasukan.

"Kami menyedari betapa penting hantaran silangnya buat kami. Kualiti yang dimilikinya sangat mengagumkan.

"Tetapi saya tidak boleh membandingkannya kerana ketika ini, saya banyak menyaksikan perlawanan Liverpool berbanding pasukan lain."

Liverpool akan kembali beraksi Ahad ini berdepan Wolves, yang berdepan juara bertahan, Manchester City, di Molineux hari ini.