Pellegrini: Nasri perlu buktikan kecergasan

Oleh Staff Writer 23 November 2018 816
Pellegrini: Nasri perlu buktikan kecergasan
Pengendali West Ham United, Manuel Pellegrini, mahu Samir Nasri membuktikan kecergasannya berada di tahap terbaik sebelum pasukannya memikirkan untuk menawarkan kontrak.

Nasri, yang kembali daripada penggantungan isu doping susulan rawatan di sebuah klinik di Los Angeles pada 2016, beraksi buat kali terakhir secara kompetitif November tahun lalu buat kelab Liga Super Turki, Antalyaspor.

Bekas pemain Perancis itu telah menjalani latihan bersama The Hammers bagi mengembalikan tahap kecergasan sambil dijangka ditawarkan kontrak sehingga penghujung musim menerusi bayaran GBP80,000 (RM431,000) seminggu.

Namun, Pellegrini yang menguruskan Nasri ketika di Manchester City -- lawan West Ham di Stadium London esok -- diminta bersabar tatkala pemain berusia 31 tahun itu mengintai peluang untuk kembali ke pentas di mana dia memenangi dua trofi liga, termasuk ketika di bawah kendalian pengurus dari Chile itu pada 2014.

"Kami akan lihat. Nasri bekerjasama dengan kami selepas penggantungan panjang. Kami menghulurkan bantuan untuk dia kembali ke kancah bola sepak," kata Pellegrini.

"Saya berharap mulai sekarang sehingga penghujung musim, dia akan cergas. Jika ia berlaku, kami akan cuba mengekalkannya di West Ham."

Dalam masa sama, Pellegrini turut ditanya mengenai masa depan Marko Arnautovic yang telah menjaringkan lima gol dalam 10 aksi liga musim ini sejak tiba dari Stoke City.

Abang Arnautovic yang juga merupakan ejennya, Daniel, mendedahkan penggempur itu telah menarik perhatian beberapa pasukan seperti Chelsea dan Everton serta kelab Serie A tetapi Pellegrini menegaskan bintang Austria itu tidak akan kemana-mana.

"Dia adalah pemain West Ham. Dia memiliki kontrak dan gembira di sini," katanya.

"Pemain sentiasa mahu bermain di kelab besar tetapi dia tidak memikirkannya. Dia gembira bersama West Ham."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen