Thomas Partey mempunyai satu "aura" mengenai dirinya yang membantu Arsenal menjadi lebih baik, kata pengurus pasukan itu, Mikel Arteta.

Partey menghasilkan bantuan jaringan pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika Arsenal merakamkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Newcastle United awal pagi tadi.

Masalah kecederaan telah membataskan pemain tengah itu untuk hanya melakukan lapan penampilan musim ini sejak tiba daripada Atletico Madrid dengan yuran perpindahan dilaporkan bernilai £45 juta (RM247.8 juta) pada Oktober lalu.

Arteta gembira dengan prestasi pemain kebangsaan Ghana itu, yang melakukan dua pintasan dan dua hantaran penting sebelum dikeluarkan pada minit ke-67 perlawanan menentang Newcastle.

"Kami amat merindui Tommy. Dia mempunyai kesegaran ini, aura ini yang menjadikannya pemain yang amat istimewa buat kami," katanya dalam sidang media.

"Harap-harap dia akan terus cergas kerana kami dapat melihat perbezaan yang dibawanya kepada pasukan kami.

"Saya fikir dia menjadi semakin baik ketika perlawanan berjalan dan dia sedang berevolusi," katanya.

Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan gol berganda manakala Bukayo Saka turut berada dalam senarai penjaring untuk memastikan Arsenal mengekalkan rekod tanpa bolos lima perlawanan berturut-turut dalam kesemua kejohanan -- kali pertama sejak Februari 2009.

Arteta berpuas hati dengan prestasi pasukannya yang kini mendaki ke tangga ke-10 EPL.

"Kami selalu katakan bahawa memenangi perlawanan adalah perkara terbaik buat mana-mana pasukan secara kolektif, juga buat kami.

"Dengan merekodkan tiga perlawanan tanpa bolos, yang kami menjaringkan gol dengan lebih lancar. Tenaga dan perpaduannya, semangat di seluruh pasukan ini sudah semakin baik.

"Kami perlu mengekalkannya dan terdapat banyak perkara yang kami perlu lakukan dengan lebih baik dan meningkat tetapi saya amat gembira," tambahnya.

Arsenal akan kembali beraksi dengan menentang Southampton atau Shrewsbury Town dalam Piala FA hujung minggu ini.