Mesut Ozil mampu menjadi watak penting buat Arsenal di bawah bimbingan Unai Emery, individu yang sangat meminati corak permainan skuad kebangsaan Jerman itu.

Ozil menampilkan aksi hebat di Emirates sejak tiba dari Real Madrid pada 2013, namun persembahan buruk pasukan dalam beberapa tahun ini telah mengundang kritikan terhadap pemain berusia 29 tahun itu.

Emery tampil buat kali pertama di depan media sejak dilantik selaku pengurus Arsenal yang baru semalam dan dia menjelaskan Ozil akan menjadi tunjang kepada perancangannya.

"Dia merupakan salah seorang pemain paling berbakat di Arsenal dan saya mahukan pemain seperti itu di sini," ujar bekas pengurus Sevilla itu.

"Saya mahu meluangkan masa bersamanya serta pemain-pemain lain. Sudah pasti saya mahu bercakap dengannya dan memberitahu saya amat gembira berada di sini.

"Saya mahu semua pemain berasa begitu. Ini adalah projek yang menyeronokkan dan kami harus memberikan 100 peratus komitmen," katanya.

Dalam masa sama, masa depan Jack Wilshere masih belum jelas tatkala kontraknya bakal tamat hujung bulan depan.

Bagaimanapun, Emery menolak untuk berbincang mengenai situasi Wilshere secara terperinci tetapi yakin dia tidak perlu melakukan perubahan besar di Emirates.

"Saya mahu bercakap tentang seluruh pasukan dan bukan secara individu untuk pemain-pemain.

"Pasukan ini memiliki pemain yang hebat dan besar. Saya cuma fikirkan kami perlu melakukan sedikit perubahan," tambahnya.