Ozil adalah pahlawan, Pires lahirkan simpati

Oleh Penulis Jemputan 19 Oktober 2017 4657
 Ozil adalah pahlawan, Pires lahirkan simpati
Legenda Arsenal, Robert Pires, percaya Mesut Ozil berasa berang dengan keengganan Arsene Wenger untuk berbelanja besar dalam pasaran perpindahan.

Ozil menghampiri enam bulan terakhir kontraknya di Arsenal, dengan Wenger mengakui bahawa pemain antarabangsa Jerman itu -- di samping Alexis Sanchez -- mungkin dijual pada jendela perpindahan Januari.

Pires, yang merupakan tonggak pada era paling berjaya Arsenal di bawah bimbingan Wenger, mendakwa Ozil kecewa dengan kegagalan The Gunners untuk menambah pemain bintang di dalam skuad itu. 

"Ozil adalah seorang pahlawan yang mahu memenangi sesuatu," kata Pires kepada akhbar terbitan Jerman, Bild.

"Bagi saya, dia nampak begitu marah terhadap kenyataan bahawa Arsenal tidak menyusun pasukan yang dihajatinya untuk membuat perubahan.

"Arsenal telah membelanjakan wang ke atas Alexander Lacazette. Itu tidak cukup untuk berada di puncak."

Kelab yang berpangkalan di London itu menduduki tempat keenam dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), setelah mengalami kekalahan ketiga musim ini, 2-1 kepada Watford pada hujung minggu lalu. 

Tekanan terletak kepada Wenger untuk memulakan kebangkitan, sekurang-kurangnya kembali dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim depan dengan meraih slot empat teratas, tetapi Pires percaya bahawa bekas bosnya itu masih orang yang tepat untuk bertanggungjawab di Stadium Emirates.

"Ia sangat sukar untuk terus kekal dalam kelompok atas di England," kata bekas pemain Perancis tersebut.

"Namun, saya masih percaya kepada Arsenal dan khususnya Arsene Wenger. Saya fikir dia mengambil tindakan yang betul menandatangani kontrak dua tahun yang baru," katanya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen