Jurgen Klopp berkata jangka masa diperlukan Alex Oxlade-Chamberlain untuk direhatkan tetapi menambah pemain tengah Liverpool itu tidak berpeluang untuk bertemu Leicester City atau Wolves selepas mengalami kecederaan ligamen buku lali.

Oxlade-Chamberlain mengalami kecederaan itu dalam final Piala Dunia Kelab, Sabtu lalu dan terpaksa meninggalkan padang 15 minit sebelum tamat permainan.

Klopp mendedahkan bekas pemain Arsenal itu tidak akan lagi beraksi tahun ini dan masih menunggu bila dia akan kembali beraksi tahun depan.

Apabila ditanya mengenai situasi Oxlade-Chamberlain, pengurus Liverpool itu menjelaskan, "Tiada berita mengenai pemain lain, ia sesuatu yang melegakan.

"Kami sudah menjangkakan apa yang bakal dihadapi oleh Oxlade-Chamberlain. Terdapat tiga ligamen di bahagian buku lali dan salah satu daripadanya mengalami kerosakan dan kami akan berusaha untuk memperbaikinya.

"Saya tidak tahu bila dia akan kembali beraksi sepenuhnya. Saya sendiri mengalaminya sebelum ini. Ia mungkin mengambil masa yang panjang atau cepat. Tetapi dia tidak akan berpeluang untuk bertemu Leicester."

Klopp menjelaskan pemain-pemain yang mengalami kecederaan sebelum ini seperti Joel Matip (lutut) dan Dejan Lovren (pangkal paha) dan Fabinho (buku lali) mempamerkan perkembangan positif, namun masih belum bersedia untuk diturunkan.

Liverpool mendahului 10 mata ke atas Leicester dan berkelebihan satu perlawanan dalam tangan menjelang aksi di Stadium King Power itu.