Penyerang Liverpool, Divock Origi, tidak berhasrat untuk meninggalkan Anfield, Januari depan, sebaliknya mahu bersaing mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

Pemain kebangsaan Belgium itu bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama skuad kendalian Jurgen Klopp musim ini dan masih tidak memulakan aksi buat musim 2016-17.

Bagaimanapun, dia optimis dengan peluangnya untuk memikat hati Klopp.

"Saya mahu beraksi tetapi pasukan sedang memenangi perlawanan dan anda tidak mahu menukar skuad yang berada di tahap terbaik," jelas Origi.

"Kami hanya beraksi sekali setiap minggu kerana kami tidak beraksi di pentas Eropah.

"Perpindahan bukan pilihan buat saya. Saya telah beritahu kepada diri saya supaya terus berjuang mendapatkan tempat di dalam pasukan.

"Saya menyedari ia merupakan tugas yang sukar tetapi saya akan memberikan yang terbaik."