Newcastle United kini untuk dijual

Oleh Penulis Jemputan 17 Oktober 2017 7058
Newcastle United kini untuk dijual
Newcastle United secara rasminya diumumkan untuk dijual oleh pemiliknya, Mike Ashley.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu mengeluarkan satu kenyataan semalam sebagai mengesahkan keputusan itu atas alasan mereka memerlukan “satu laluan dan hala tuju ke arah masa depan yang lebih terang dan berjaya”.

Adalah dipercayai Ashley berhasrat untuk melengkapkan penjualan kelab berkenaan sebelum tahun baru.

“Sebagai salah satu kelab tertua Liga Perdana yang mendapat sokongan besar – dan demi manfaat penyokongnya di United Kingdom dan di serata dunia -- Newcastle United memerlukan satu arah dan laluan yang jelas kepada masa depan yang cerah dan berjaya,” kata satu kenyataan syarikat induknya, St. James' Holdings Limited.

Laporan telah menular sejak beberapa lama bahawa Ashley memang bersiap-sedia untuk menjual kelab itu, dengan seorang usahawan, Amanda Staveley, salah seorang yang dikaitkan yang mungkin mengambil alih.

Ashley, 53, telah memiliki kelab itu selama 10 tahun, yang dalam tempoh itu menyaksikan Newcastle dua kali diturunkan divisyen daripada Liga Perdana Inggeris.

Bekas kapten dan pemegang rekod jaringan Liga Perdana, Alan Shearer, mengalu-alukan khabar itu menerusi Twitter, seiring dengan beberapa penyokong.

Newcastle seri 2-2 dengan Southampton kelmarin yang meletakkan mereka di tangga kesembilan selepas lapan perlawanan.
 
 
 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen