Mauricio Pochettino mungkin akan kembali ke Tottenham Hotspur untuk mengendalikan pasukan itu buat kali kedua, kata pengerusi kelab, Daniel Levy.

Susulan permulaan suram bagi kempen 2019-20, Pochettino -- yang mengemudi Spurs menduduki kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris selama empat tahun berturut-turut, termasuk layak ke final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu -- dipecat bulan lalu.

Jose Mourinho pantas dilantik selaku penggantinya dan sejak itu Spurs menang lima daripada tujuh perlawanan dalam semua kejohanan.

Levy membuat keputusan untuk memecat Pochettino tetapi memberi bayangan ia bukan pengakhiran hubungan pengurus dari Argentina itu dengan Spurs selepas meletakkan pasukan itu dalam kalangan kelab elit Liga Perdana Inggeris.

"Anda perlu faham saya telah membina hubungan peribadi dengan Pochettino selama lima tahun enam bulan," katanya.

"Ia bukan sesuatu yang saya inginkan. Ia sukar, saya memberitahunya dan dia faham.

"Dia telah lama berada dalam dunia bola sepak dan faham situasi itu. Ia tidak melibatkan peribadi dan saya pasti dia akan kembali lebih kuat dan berpeluang mengendalikan pasukan lain. Mungkin dia akan kembali bersama kami satu hari nanti.

"Saya tidak akan duduk di sini dan melihat perkara lalu. Ia tidak produktif. Pochettino menjalankan tugas hebat buat kami. Ia membuatkan kami bersyukur. Saya mengucapkan selamat maju jaya untuknya.

"Saya masih berhubung dengannya. Hubungan saya dengan dia sangat bagus. Cuma, kami sampai ke tahap perlu berpisah."

Spurs tidak membazirkan masa membawa masuk Mourinho dan walaupun Levy mengesahkan terdapat pilihan lain, pengendali dari Portugal itu sentiasa menjadi keutamaan.

"Beberapa tahun lalu, saya tidak pasti, kami dikaitkan dengannya," tambah Levy.

"Namun, saya tidak bercakap dengan Mourinho. Kami tidak pernah berbual. Kesediaannya jelas tidak berkaitan dengan Pochettino, tidak sama sekali.

"Saya tidak ingat bila saya berbual dengan Mourinho buat kali pertama, namun apabila saya membuat keputusan bahawa kami perlu melakukan perubahan, walaupun secara dalaman terdapat ramai calon, Mourinho adalah pilihan pertama.

"Kami melalui beberapa siri perbincangan. Pertama, ia keputusan berat dan anda tidak tahu apa yang akan diraih sehingga anda bekerjasama dengan seseorang.

"Terdapat beberapa pandangan tentang hubungan dengan Mourinho tetapi saya tidak pasti sama ada ia benar atau tidak.

"Saya mahu meluangkan masa dengannya, jadi kami sependapat. Tiada guna jika dia datang ke kelab tetapi menjangkakan perkara berbeza dengan kami. Kami sependapat untuk mara ke depan."