FULHAM 0 ARSENAL 3

Arsenal membuat permulaan yang meyakinkan ketika membuka tirai Liga Perdana Inggeris (EPL) sementara Willian dan Gabriel membuat kemunculan pertama yang memberangsangkan dalam kemenangan 3-0 di Fulham, sebentar tadi.


Willian mencipta umpanan buat Gabriel dan Pierre-Emerick Aubameyang untuk gol dalam separuh masa kedua apabila terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi sentuhan Alexandre Lacazette.

Pasukan bimbingan Mikel Arteta itu, yang kali terakhir tewas kepada Tottenham dan Aston Villa ketika bertandang ke tempat lawan bagi musim 2019-20, bagaimanapun meniti kemenangan selesa di Craven Cottage sejurus jaringan Lacazette itu biarpun permainan baru berusia lapan minit untuk muncul sebagai pemain pertama yang meledak gol buat musim kedua berturut-turut.

Pendatang baru itu, yang diasuh Scott Parker, hampir mengimbangi dominasi permainan tetapi gagal mengancam gawang The Gunners.



Fulham bermula dengan positif tetapi dibolosi dengan cara yang mengecewakan apabila Lacazette menyudahkan bola muntah selepas Marek Rodak menyelamatkan percubaan awal daripada Willian -- peluang yang berpunca daripada usaha Aubameyang menghambat bola di dalam kotak penalti tuan rumah.

Willian hampir merakamkan gol pertamanya di Arsenal menerusi rembatan sulungnya, tetapi sepakan percuma pemain Brazil itu hanya singgah ke tiang sebelah kiri lawan.

Gabriel, yang sebahagian besarnya tidak berdepan situasi cemas di bahagian pertahanan dalam babak pertama, memiliki peluang menarik ketika permainan bersisa empat minit apabila hampir menyempurnakan sepakan sudut Willian.

Hampir sejam melewati permainan, Arsenal mengukuhkan kedudukan kepada 3-0, apabila Willian segera mencari Aubameyang sebaik memenangi bola di kawasan Fulham untuk wira Piala FA itu melencongkan bola ke penjuru atas kanan pintu gol pasukan yang mara menerusi tiket play-off berkenaan.

Aubameyang sekali lagi hampir mencetak gol tetapi kali ini Michael Hector lebih cekap untuk menafikan tolakannya di garisan gol, sekali gus mengelak pasukannya daripada dibelasah dengan lebih teruk.