Jose Mourinho mengakui kecewa dengan deretan kesilapan individu yang dilakukan oleh pemain Tottenham Hotspur selepas diikat Norwich City 2-2 awal pagi tadi.

Spurs dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk mendapatkan satu mata ketika menentang pasukan kelompok bawahan itu dalam aksi di Carrow Road.

Mario Vrancic mengambil kesempatan terhadap benteng Spurs yang longgar untuk memberikan Norwich pendahuluan pada minit ke-18 sambil jaringan Teemu Pukki dinafikan video bantuan pengadil (VAR) akibat ofsaid.

Spurs meningkatkan persembahan selepas rehat dan menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Christian Eriksen tetapi tidak lama kemudian, usaha Toby Alderweireld mengeluarkan bola terkena Serge Aurier sebelum menghasilkan gol sendiri.

Harry Kane menyelamatkan Spurs selepas menyempurnakan sepakan penalti ketika permainan berbaki tujuh minit dalam penampilan ke-200 penyerang England itu dalam Liga Perdana Inggeris tetapi Mourinho jelas tidak gembira dengan apa yang disaksikan.

"Saya rasa kesilapan sama ketika bertahan yang dilakukan dalam babak pertama, diulangi dalam separuh masa kedua. Ia seperti sudah menjadi sejarah kami," katanya.

"Kami bermula sangat baik, meraih tiga atau empat peluang ketika memulakan babak pertama tetapi dibolosi dua gol yang sangat teruk, salah satunya ofsaid.

"Saya mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan tetapi ia menjadi sukar kerana saya sering berkata bahawa anda perlu cuba sembunyikan kelemahan."

Spurs telah melepaskan 12 gol dalam lapan perlawanan liga sejak Mourinho menggantikan Mauricio Pochettino dan hanya sekali mengelakkan gawang daripada bocor dalam kunjungan ke tempat lawan bagi tahun ini.

"Kami harus perbaiki pertahanan kerana terlalu banyak kesilapan individu," tambahnya.

"Ia sangat mengecewakan kerana kami bermain dengan baik. Kami tampil garang dalam separuh masa kedua. Kesilapan ketika bertahan telah kami ulangi dalam setiap perlawanan."


Editor: Nafis Abdullah