Jose Mourinho berasakan beliau 'tidak memiliki pemain simpanan untuk bertindak balas' ketika Tottenham seri 1-1 dengan Manchester United, awal pagi tadi.

Sepakan penalti yang dilengkapkan Bruno Fernandes pada minit ke-81 membatalkan gol pembukaan Steven Bergwijn dalam aksi menyaksikan Spurs dan United kembali beraksi selepas saingan ditangguh ekoran Covid-19 sebelum ini.

United turut diberikan penalti pada penghujung permainan, tetapi VAR membatalkan keputusan tersebut.

Bagaimanapun, Mourinho berasakan kekurangan pilihan di bangku simpanan, dengan ketiadaan Dele Alli dan Lucas Moura amat mengecewakan beliau.

"Saya menyukai sikap pasukan, organisasi pasukan, cara kami mengawal permainan, segalanya dalam perancangan, memberikan kepada United apa yang mereka tidak suka, saya sangat gembira," kata ketua jurulatih Spurs itu kepada Sky Sports.

"Saya tidak senang dengan kenyataan bahawa cara saya membaca permainan ini, saya tidak mempunyai bangku simpanan untuk bertindak balas untuk perlawanan ini.

"Dengan ketiadaan Lucas dan Alli, saya kekurangan pemain yang mampu mendominasi jentera serangan dan kami gagal untuk kekal memberikan tekanan kepada pasukan lawan.

"Dalam masa sama, kami tidak boleh mempamerkan serangan balas yang berbahaya kerana tidak memiliki kualiti yang secukupnya.

"Saya juga tidak senang dengan penalti pertama dan saya juga tidak senang dengan penalti kedua. Saya tidak senang dengan VAR, bukan pengadil. Pengadil dalam permainan boleh membuat kesilapan, memberikan penalti yang murah kepada pasukan lawan. Tetapi dengan adanya VAR, setiap keputusan seharusnya dapat diperhalusi. Saya tidak berpuas hati dengan [Jonathan] Moss, saya tidak berpuas hati dengan VAR.

"Dengan penalti kedua, saya tidak senang dengan Moss kerana dia tidak memberikan sepakan percuma kepada Serge Aurier, sekali lagi memberikan penalti murah, bukan penalti. Dalam kes ini, VAR memberikan kebenaran atas apa yang berlaku di kotak itu."Sementara Mourinho meratapi kekurangan pilihan pemain, United memperkenalkan Paul Pogba, Mason Greenwood dan Odion Ighalo daripada bangku simpanan.

"United memilikinya, Spurs tidak. Bukan hanya Pogba. Mereka memiliki juga Greenwood, dan Ighalo," kata Mourinho.

"Sekiranya mereka ingin mencari kemenangan, mereka mungkin menurunkan Jesse [Lingard], yang dapat mengubah wajah permainan, atau seseorang yang dapat bermain dengan cemerlang dalam tempoh yang singkat.

"Itulah yang dapat dilakukan lima perubahan dengan bangku cadangan yang kuat dengan pilihan."

Menjelang berdepan West Ham Selasa ini, Spurs berada di tangga kelapan -- empat mata di belakang Manchester United yang berada di tangga kelima.