Jose Mourinho mempertahankan gaya permainan Manchester United di samping menegaskan beliau tidak terlalu memikirkan mengenai jurang mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu mengungguli persada liga dengan perbezaan lapan mata ke atas United, dengan City mempamerkan aksi cemerlang apabila meledak 40 gol dalam 12 perlawanan musim ini.

Bagaimanapun, Mourinho menjelaskan tiada pasukan yang memiliki cita-cita yang lebih tinggi berbanding pasukannya menjelang pertemuan berdepan Brighton and Hove Albion, malam ini.

"Untuk memiliki keazaman yang tinggi lebih daripada kami untuk beraksi di laman sendiri adalah sukar," katanya. "Saya tidak tahu pasukan mana yang memiliki cita-cita yang lebih besar daripada kami.

"Kami beraksi berdepan Newcastle dengan Paul Pogba, Marcus Rashford, Anthony Martial, Juan Mata, Romelu Lukaku; tanpa bek kanan atau kiri yang tulen. Antonio Valencia dan Ashley Young adalah pemain sayap.

"Jadi, saya tidak tahu apa yang anda mahukan," ujarnya.

Jika United berjaya menghasilkan keputusan positif ke atas Brighton dan beberapa perlawanan akan datang, mereka berpeluang untuk merapatkan kedudukan dengan City - tetapi ia bukan keutamaan buat Mourinho.

"Kami tidak boleh memikirkan tentang jurang dengan City. Kami perlu memberikan tumpuan kepada permainan kami.

"Ini merupakan kali pertama untuk musim ini terdapat tiga perlawanan dalam tempoh seminggu, tetapi saya berasakan setiap pasukan sudah bersedia menghadapinya.

"Berdepan Brighton, Watford, dan Arsenal adalah perlawanan yang penting tetapi kami meletakkan fokus kepada Brighton terlebih dahulu.

"Kami menyedari beraksi di laman sendiri, United memiliki rekod yang cemerlang, tetapi lawan kami akan memberikan kesukaran untuk mencipta kemenangan," tambahnya.