Jose Mourinho menegaskan bahawa dia tidak perlu membuktikan kemampuannya sambil menekankan prestasi semasa Tottenham yang sudah melakar lima perlawanan terakhir.

Bekas pengurus Chelsea dan Manchester United itu dilantik bagi menggantikan Mauricio Pochettino sebagai pengurus Spurs, November lalu.

Tottenham kemudian mempamerkan peningkatan di bawah asuhan pengurus Portugis itu, namun dia belum dapat menyelamatkan kempen mereka untuk meraih empat tempat teratas manakala slot Liga Europa masih belum terjamin.

Mourinho sering menjadi subjek kritikan, lebih-lebih lagi ketika pasukannya mengharungi tujuh perlawanan tanpa kemenangan dalam kedua-dua bahagian musim ini termasuk kekalahan memalukan 1-3 di Sheffield United.

Begitupun, pengurus itu sudah memandang ke arah musim depan dengan optimis apabila mengatakan keputusan yang diraih mereka kebelakangan ini telah membuktikan kredibilitinya.



Spurs memungut 13 mata daripada lima perlawanan terakhir -- prestasi terbaik mereka dalam liga sepanjang musim ini menyaksikan mereka menumbangkan Everton, Arsenal, Newcastle United dan Leicester City.

"Sekiranya anda fikir saya perlu membuktikan (sentuhan saya), baiklah saya akan mencuba," kata Mourinho yang sebelum ini perlu menangani krisis kecederaan, khususnya kelibat Harry Kane.

"Jika ini mengenai individu dan pendekatan individu, mari kita buat kesimpulan mudah.

"Saya (sepatutnya berada di tempat) keempat liga (sejak saya ambil alih). Saya tiba ketika pasukan ini menduduki tangga ke-14, lapan mata dipisahkan dengan Arsenal, 12 mata daripada kedudukan Liga Juara-Juara (UCL). Tetapi seandainya liga bermula sejak pelantikan saya, maka kami sepatutnya menghuni tangga keempat.

"Sekiranya anda fikir itu sesuatu yang buruk, itu pendapat anda. Sekiranya anda ingin ketawa bersama saya, saya adalah juara dalam lima perlawanan terakhir!

"Saya berusaha melakukan yang terbaik sepanjang masa, saya tidak bimbang untuk membuktikan (sesuatu). Perlawanan paling penting saya adalah yang seterusnya, musim yang paling penting adalah yang berikutnya.

"Ia bukan seperti yang anda fikirkan, faktor luaran yang mampu menambah mahupun mengurangkan motivasi saya. Ia hanyalah sifat saya jadi saya tidak memerlukannya. Saya menantikan musim depan."