TOTTENHAM 2 MAN CITY 0

Jose Mourinho berasakan Raheem Sterling bernasib baik kerana berjaya mengelak daripada dilayangkan kad merah pada peringkat permulaan perlawanan ketika Tottenham menang 2-0 ke atas Manchester City awal pagi tadi.


Jaringan dalam separuh masa kedua daripada Steven Bergwijn dan Son Heung-min melengkapkan kemenangan skuad kendalian Mourinho itu semalam, dengan City terpaksa menghabiskan permainan dengan 10 pemain apabila Oleksandr Zinchenko diarah keluar padang, beberapa minit sebelum jaringan pembukaan.

Ilkay Gundogan gagal menyempurnakan sepakan penalti buat City tetapi Mourinho percaya pertembungan yang berbeza jika Sterling dilayangkan kad merah pada minit ke-12 selepas melakukan terjahan kepada Dele Alli. Setelah dinilai menerusi video bantuan pengadil (VAR), hanya kad kuning diberikan.

"Saya sangat berpuas hati dengan persembahan Spurs," kata Mourinho kepada Sky Sports. "Kami boleh melihat daripada perspektif bahawa kami agak bertuah dalam beberapa situasi. City telah melakukan percubaan yang terkena palang dan terlepas peluang terhidang.

"Tetapi kami juga boleh melihat daripada sudut perspektif yang berbeza dan tidak bertuah dengan VAR yang tidak memutuskan kad merah kepada Sterling, yang terang-terangan harus diarah keluar padang.

"Daripada saat itu, ia adalah perlawanan yang berbeza jika anda perlu bermain selama 75 minit dengan 10 minit. 11 lawan 11, ia agak sukar tetapi pemain-pemain telah berusaha dengan cemerlang dan penuh berdisiplin."

Mourinho turut kelihatan berang apabila Sterling menjatuhkan badan selepas Hugo Lloris menafikan sepakan penalti Gundogan, dan terlepas kad kuning kedua gara-gara simulasi.

Bagaimanapun, beliau memuji aksi yang dipamerkan barisan pemain tengah, Giovani Lo Celso dan Harry Winks, serta penjaga gol, Lloris.

"Berdepan City, mereka amat menyukai bola, mereka lebih arif berbanding orang lain apa yang harus dilakukan dengan bola. Jadi, ketika mereka menguasai majoriti permainan, ia amat sukar tetapi Spurs telah menampilkan aksi yang cemerlang dengan tumpuan penuh sepanjang perlawanan," tambah Mourinho.

"Cara Lo Celso dan Winks mengawal Kevin De Bruyne, pergerakan yang dilakukan dalam kawasan tersebut, dan Lo Celso, cara dia mengawal posisi di mana Sterling cuba melakukan gerakan bersama Gundogan. Saya berasakan pemain-pemain telah beraksi dengan luar biasa dalam perlawanan ini."

"Penjaga gol menyelamatkan sepakan penalti. Saya berasakan ia adalah ketentuan tuhan kerana sepakan penalti itu tidak seharusnya diberikan tetapi penjaga gol berjaya menafikannya dan membantu pasuakn meraih mata."

Jaringan sulung daripada Bergwijn menyaksikan pemain yang berhijrah daripada PSV itu tenang mendada bola sebelum melepaskan rembatan voli.

"Ia sangat tepat, dia mempamerkan kemahiran teknikal dengan penuh keselesaan, mendada bola, menyempurnakannya dengan rembatan voli. Jaringan itu sukar dinafikan walaupun untuk penjaga gol seperti Ederson."



Editor: Ammar Hakim