Mourinho puji kesungguhan pemain bawa Tottenham ke final Piala EFL

Oleh Shaiful Shamsudin 6 Januari 2021 3471
 Mourinho puji kesungguhan pemain bawa Tottenham ke final Piala EFL
Jose Mourinho memuji kemenangan mustahak Tottenham selepas mengatasi Brentford 2-0 untuk mara ke final Piala Liga Inggeris (EFL).

Moussa Sissoko dan Son Heung-min menemui sentuhan pemusnah untuk Spurs mengatasi wakil daripada Liga Kejuaraan itu yang menamatkan aksi dengan 10 pemain selepas Josh Dasilva diperintah keluar padang ekoran terjahan ke keting Pierre-Emile Hojbjerg.

Tottenham belum pernah memenangi sebarang gelaran sejak menjulang trofi Piala EFL edisi 2008 sementara Mourinho sudah menikmatinya kejayaannya empat kali.

Kejayaan terakhirnya adalah ketika bersama Manchester United pada 2017 dan bekas kelabnya itu akan menghadapi Manchester City dalam satu lagi pertembungan separuh akhir, awal pagi ini.

"Ini adalah perlawanan yang membawa kami ke final. Mungkin, saya harap tidak, tetapi perlawanan akhir berkemungkinan dilangsungkan di Stadium Wembley yang kosong, namun ia tetap satu pertembungan final" katanya kepada Sky Sports sekali gus menimbulkan keraguan terhadap hasrat penganjur untuk menunda aksi penentu itu pada April depan.

"Saya sangat gembira. Sudah tentu kami sering menghadapi perlawanan getir di samping kelab-kelab terbesar negara ini, kami juga memenangi'derby London' tetapi ini adalah perlawanan yang membawa kami ke final.

"Saya akan menganggap bahawa ini adalah perlawanan yang sangat penting buat kami. Kini kami akan menghadapi perlawanan akhir dalam masa beberapa bulan lagi.

"Jadi kami harus melupakannya dan fokus kepada saingan Piala FA, Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Europa."


 

Video bantuan pengadil (VAR) tidak menyebelahi Brentford selepas Ivan Toney didapati ofsaid ketika menyamakan kedudukan selepas sejam perlawanan, namun Mourinho menganggap ia bukan satu tabiat lama Tottenham.

"Kami memang layak menang," katanya. 

"Perlawanan ini tersusun. Mereka mempunyai gol ofsaid dan menembusi sebelah kanan kami sekali.

"Kami tidak cemerlang menguasai bola. Kadang-kadang membuat keputusan yang salah, ada masanya membuat terlebih sentuhan dan tidak kemas untuk menerapkan corak permainan pantas.

"Tetapi kami mencengkam perlawanan ketika menentang sebuah pasukan yang mungkin akan beraksi dalam EPL musim depan."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen