Mourinho puji aksi memukau Chiellini, Bonucci 

Oleh Penulis Jemputan 24 Oktober 2018 1797
 Mourinho puji aksi memukau Chiellini, Bonucci 
MANCHESTER UNITED 0 JUVENTUS 1

Jose Mourinho menghamburkan pujian terhadap tonggak pertahanan berpengalaman Juventus, Giorgio Chiellini dan Leonardo Bonucci, selepas mereka mengekang Manchester United dalam Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi. 


Jaringan Paulo Dybala pada minit ke-17 sudah cukup untuk Juve melebarkan kelebihan dalam Kumpulan H menerusi tiga kemenangan daripada tiga aksi yang menyaksikan Cristiano Ronaldo membuat kemunculan semula di Old Trafford. 

United bergelut ketika berdepan jaguh Serie A berkenaan sungguhpun percubaan Paul Pogba pada lewat perlawanan menggegar tiang. 

Sebelum sepak mula, Bonucci mendedahkan dia sempat menolak tawaran United kerana memilih untuk menyertai Juve selepas setahun bersama AC Milan.

Mourinho cukup jelas bahawa pertahanan Itali, Chiellini dan Bonucci, menjadi jurang pemisah di antara Juve dan United yang hanya menang sekali dalam tujuh perlawanan terakhir mereka.

"Pasukan lawan memiliki kualiti yang sangat tinggi dan apabila kita bercakap soal kualiti, orang akan menjurus kepada Cristiano, Dybala atau (Miralem) Pjanic," kata Mourinho kepada BT Sport.

"Begitupun, dalam sebuah pasukan gergasi, anda harus berpaling ke arah Chiellini dan Bonucci, Juventus adalah pasukan yang sukar ditembusi apabila sedang mendahului. 

"Penyerang saya gagal mengucar-kacirkan mereka, bagaimanapun semua orang sudah berhempas-pulas. 

"Juventus berasakannya dan mereka dipaksa bertahan dalam babak pertama sambil meletakkan seorang lagi pertahanan tengah tambahan (Andrea Barzagli) untuk menyokong Chiellini dan Bonucci yang luar biasa.

"Sesungguhnya ia sukar buat kami. Saya berpendapat sebelum dan semasa perlawanan, kami boleh meraih sesuatu tetapi kami tidak dapat menjaringkan gol."

Mourinho kembali menyasarkan pengurusan United berikutan tidak melabur di bahagian pertahanan tatkala terus memuji barisan pertahanan Juve.

"Saya harus mengatakan mereka (Juve) berada di tahap yang berbeza dan jika orang tidak mahu menerima hakikat itu, itu masalah mereka," tambah Mourinho.

"Keseimbangan, pengalaman dan pengetahuan mereka di tahap berbeza dan asas kepada pasukan mereka adalah Bonucci dan Chiellini.

"Kedua-dua pemain itu membolehkan Juve bebas mengatur serangan, mencipta dan kehilangan bola kerana ia ibarat 'tidak ada masalah, kami ada di sini'.

"Hasil usaha anak buah saya, kami layak mencatat seri tetapi tidak menjadi kenyataan. Saya tidak mahu merungut dengan barisan pemain saya. Saya positif terhadap usaha mereka dan pada Ahad nanti, kami mempunyai satu lagi perlawanan."

United akan kembali beraksi dalam kancah Liga Perdana bertemu Everton.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen