Mourinho pengurus terbaik United sejak era Ferguson -- Gerrard

Oleh Penulis Jemputan 19 Disember 2018 1584
Mourinho pengurus terbaik United sejak era Ferguson -- Gerrard
Steven Gerrard tidak percaya Jose Mourinho layak menerima kritikan susulan pemecatannya selaku pengurus Manchester United semalam.

United memecat Mourinho selepas dua tahun enam bulan berada di Old Trafford tatkala The Red Devils kini menduduki tangga keenam liga, 19 mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Pengendali dari Portugal itu dikritik akibat taktik yang digunakan di United sambil ada yang berpendapat dia telah jauh tersasar daripada permainan menghiburkan ketika era Sir Alex Ferguson.

Pendekatan kerasnya dengan media serta masalah yang berlarutan dengan pemain membuatkan Mourinho terpaksa dipecat, lebih-lebih lagi apabila United tewas 3-1 di tangan Liverpool di Anfield, Ahad lalu.

Namun, Gerrard berfikir Mourinho patut diberikan pujian kerana memperbaiki kemasyhuran di Old Trafford selepas era David Moyes dan Louis Van Gaal.

Bercakap ketika sidang media, Gerrard berkata: "Dia seorang pemenang, jadi bagaimana saya boleh duduk di sini dan bercakap perkara buruk tentang Jose Mourinho?

"Dia sentiasa muncul juara di mana sahaja dia pergi. Dia telah dipecat oleh United tetapi telah meraih banyak trofi. Sejak Ferguson meninggalkan The Red Devils, Mourinho telah melakukan yang terbaik.

"Mereka tampak bergelut tetapi Mourinho hadir dan menghadiahkan beberapa trofi, jadi saya tidak rasa anda patut mengkritiknya secara melampau.

"Pasti menarik untuk melihat hala tuju pasukan selepas menerima sentuhan pengurus baru tetapi tiada seorang pun peminat United yang akan mengambil kisah apa yang saya katakan!"

Laurent Blanc dan Ole Gunnar Solskjaer muncul calon pilihan untuk mengendalikan United sehingga penghujung musim ini tatkala Mauricio Pochettino dan Zinedine Zidane dilihat sebagai pengganti jangka panjang.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen