Mourinho nafi berbincang dengan Arsenal

Oleh Staff Writer 30 November 2019 616
Mourinho nafi berbincang dengan Arsenal
Jose Mourinho menegaskan dia tidak berbincang dengan Arsenal untuk menggantikan Unai Emery sebelum menjadi ketua jurulatih baru Tottenham Hotspur.

Bekas pengurus Manchester United, Real Madrid dan Chelsea itu juga berkata dia tidak menghiraukan identiti pengendali Arsenal yang seterusnya selepas bekas pengendali Spurs, Mauricio Pochettino, dikaitkan dengan laporan itu.

Minggu lalu, Mourinho dilantik Spurs bagi menggantikan Pochettino yang dipecat tetapi laporan semalam mendakwa dia turut menjadi sasaran Arsenal sehingga menyebabkan seteru Tottenham itu pantas memecat Emery.

Bagaimanapun, sebarang dakwaan mengatakan Mourinho telah berbincang mengenai tugas di Arsenal dengan Ketua Bola Sepak The Gunners, Raul Sanllehi, dinafikan oleh pengendali dari Portugal itu.

Ditanya jika wakilnya ada menemui pihak Arsenal, Mourinho berkata: "Tidak. Tidak.

"Sudah tentu saya tidak nafikannya kerana saya bukan jenis begitu tetapi apabila terbaca mengenai saya telah menemui Sanllehi, ia tidak benar."

Pochettino menjadi salah seorang pilihan di Emirates, sekali gus bermakna dia bakal kembali untuk berdepan Spurs dan Mourinho bagi mengendalikan seteru utama mereka.

Namun, Mourinho tidak hairan dengan kebarangkalian itu sambil menegaskan dia akan berdepan Arsenal dan bukan pengurus barunya.

"Saya tidak pernah bermain menentang Pochettino dalam hidup saya. Tidak pernah," katanya.

"United menentang Spurs, ada. Spurs menentang Chelsea, ada tetapi saya tidak pernah menentang Pochettino.

"Jadi, jika dia ke Arsenal atau mana-mana kelab, ia tidak akan melibatkan pertemuan saya dan dia. Ia akan menjadi di antara saya dan kelab.

"Benar, saya tidak sabar untuk menentang Arsenal. Saya mahu beraksi menentang Arsenal kerana tahu maknanya kepada peminat.

"Saya tahu ia satu aksi besar, bukan kerana Arsenal adalah kelab besar yang mengejar objektif sama tetapi kerana saya tahu maksud dan sukakannya."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen