Jose Mourinho mengkritik jadual padat Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menyifatkan ia sebagai satu "jenayah" apabila kelab itu akan kembali beraksi Sabtu ini.

Spurs, yang terlibat dalam aksi lebih awal berbanding pasukan lain, bangkit daripada ketinggalan di laman sendiri sebelum meraih kemenangan 2-1 ke atas Brighton and Hove Albion.

Bagaimanapun, kemenangan itu menghukum mereka apabila Harry Winks dan Moussa Sissoko dilayangkan kad kuning dan bakal digantung untuk aksi seterusnya berdepan Norwich City.

Son Heung-min turut digantung ekoran kad merah ketika berdepan Chelsea dan kini memaksa Mourinho meneruskan saingan tanpa beberapa tonggak utama di samping masa yang singkat untuk membuat persiapan menghadapi perlawanan di Carrow Road itu.

Bagaimanapun, sebelum beralih tumpuan kepada perlawanan berikutnya, pengendali kelahiran Portugal itu mengkritik jadual padat yang diperlu ditempuhi ketika ini.

"Saya tidak boleh membayangkan apa yang diharungi oleh pemain-pemain, bukan hanya pemain saya, tetapi skuad kendalian Graham Potter, bagaimana mereka akan bermain dalam tempoh 48 jam," kata Mourinho.

"Jika anda melihat kepada statistik serta jumlah larian yang dilakukan, tahap intensiti permainan dan membincangkannya bersama seseorang yang memahami fisiologi manusia, ia adalah satu jenayah untuk mereka beraksi sekali lagi Sabtu ini.

"Ia melawan setiap hukum fisiologi, biologi, biokimia, semuanya. Tetapi ia tetap perlu diharungi walaupun tiga pemain kami kini sudah digantung."

Tanguy Ndombele dijangka menjadi jalan penyelesaian mengisi kekosongan di bahagian tengah selepas pemain kelahiran Perancis itu tidak diturunkan berdepan Brighton.