Mourinho: Ia untuk 'Mourinitas' saya di seluruh dunia

Oleh Muzaffar Musa 27 Mac 2021 1133
Mourinho: Ia untuk 'Mourinitas' saya di seluruh dunia
Jose Mourinho berkata 'Mourinitas'nya di seluruh dunia telah memberikannya motivasi untuk berdepan segala kritikan.

Pengurus Tottenham itu menikmati karier pengurusan yang gemilang dengan memenani Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama Porto dan Inter Milan, termasuk gelaran domestik di Portugal, England, Itali dan Sepanyol.

Pengendali berbangsa Portugis itu, bagaimanapun, berdepan pelbagai tohmahan sejak beberapa tahun ini berikutan kekurangan kejayaan yang dikecapinya.

Spurs kini berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tersingkir daripada saingan Eropah dan cara permainan pragmatik mereka juga sering diperhatikan pelbagai pihak.

Namun, Mourinho tidak terganggu dengan perkara itu kerana dia kekal mendapatkan sokongan besar dari seluruh dunia.

"Sejujurnya, saya mendapatkan kekuatan daripada diri saya tetapi sebahagian besarnya juga dari orang yang saya sayang dan dari orang yang saya tahu mereka menyayangi saya, walaupun ramai daripada mereka saya tidak kenal, tidak pernah berjumpa," katanya dalam satu acara bersama penaja kelab Tottenham.

"Saya memanggil mereka 'Mourinistas' kerana di Potugal, kami meletakkan ista di belakang nama kelab bola sepak yang kami cintai demi menunjukkan sokongan.
 
"Sebagai contoh, jika anda dari Porto, anda menyebutnya Portista; jika anda dari Benfica, anda menyebutnya Benficista; dan jika anda dari Mourinho, anda menyebutnya Mourinista.

"Saya mempunyai ramai Mourinista di seluruh dunia dan saya bermain untuk mereka," katanya.

Pengendali Spurs itu turut membandingkan cara kejurulatihannya dengan kepakakaran saintis NASA ketika menggambarkan kebodohan kritikan media.

"Saya tidak fikir akan ada sesiapa membincangkan mengenai sains angkasa lepas dengan seseorang dari NASA, semua orang dalam dunia.

"Mereka fikir mereka boleh membincangkan bola sepak dengan salah seorang pengurus paling penting dalam permainan ini. Itulah keindahan bola sepak.

"Saya sudah biasa dengannya, saya menghargainya, jadi ia tiada apa-apa buat saya," katanya
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen