Bintang Tottenham Hotspur, Dele Alli, telah membintangi permulaan era Jose Mourinho dengan baik dan pengendali dari Portugal itu gembira melihat perkembangan pemain berusia 23 tahun itu.

Selepas menyinar secara konsisten dalam tiga tahun pertamanya di Spurs, Alli berdepan masalah prestasi musim lalu dan memulakan kempen 2019-20 dengan persembahan mengecewakan.

Ia membawa kepada pemecatan Mauricio Pochettino sambil pendekatan segar daripada pengurus diperlukan dan ia terbukti apabila Mourinho berjaya mendapatkan reaksi sebenar daripada pemain tengah menyerang itu.

Semalam, Alli menyumbat dua gol dalam kemenangan 3-2 ke atas Bournemouth dan ketika Tottenham mempamerkan kebangkitan untuk menang 4-2 ke atas Olympiacos, dia turut menghasilkan jaringan dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah itu Rabu lalu.

Ia merupakan kali pertama sejak Disember lalu dia menghasilkan gol dalam dua penampilan berturut-turut tatkala prestasi keseluruhannya sangat hebat.

Bagi Mourinho, meletakkan Alli lebih ke depan di belakang Harry Kane pada awalnya memberi kesukaran untuk bekas pemain MK Dons itu.

"Ia bukan mengenai gaya mudah tetapi hanya posisi dan prinsip permainan," katanya.

"Setiap pengurus memiliki idea mereka sendiri dan kami berbeza. Tiada siapa yang salah atau betul dan bagi saya, Alli bukan pemain tengah.

"Alli tidak patut diletakkan di tengah kerana dia perlu bebas untuk berada dekat dengan Kane berbekalkan corak permainan yang diamalkan dalam sesi latihan, lebih bebas untuk menyambungkannya dengan dengan bahagian serangan. Saya rasa ini adalah posisi terbaik untuknya.

"Alli, saya tidak perlu katakannya. Perkara terbaik yang boleh diraih jurulatih adalah apabila anda tidak perlu bercakap tentang pemain kerana semua orang berbuat demikian, tidak kira media, peminat atau semua orang.

"Dia bermain sangat baik. Saya tidak boleh meminta apa lagi daripadanya. Dia beraksi cemerlang, hasilkan gol, cipta bantuan jaringan dan bekerja keras. Itu hebat."