Jose Mourinho berang dengan pengendali Everton, Ronald Koeman, kerana meluahkan hasratnya dalam media untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Manchester United, Memphis Depay.

Koeman tidak berselindung dengan hasratnya untuk menandantangani khidmat Depay yang masih gagal meninggalkan impak berkesan di United sejak berhijrah dari PSV pada Jun tahun lalu.

Pemain berusia 22 tahun itu hanya membuat empat penampilan musim ini dari bangku simpanan dalam Liga Perdana Inggeris, namun berjaya menyumbang dua gol untuk membantu Belanda melakar kemenangan 3-1 ke atas Luxembourg dalam saingan kelayakan Piala Dunia.

Namun, tindakan Koeman itu mencetuskan kemarahan Mourinho.

"Jika media mengajukan soalan kepada saya, jawapan saya ialah 'pemain itu bukan milik saya, dia masih milik pasukan lain, dia milik pengurus lain', atau saya tidak akan membuat sebarang komen," jelasnya.

"Pada saya itu adalah cara yang beretika. Jika saya membuat kenyataan (sepertimana dilakukan Koeman) saya akan dikecam."

United akan menerima kunjungan Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada Sabtu.